Penguatkuasaan perlu diperketatkan – BNM - Utusan Malaysia

Penguatkuasaan perlu diperketatkan – BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mei – Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan langkah-langkah penguatkuasaan perlu diperketatkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada kadar sifar mulai 1 Jun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, ini kerana keputusan kerajaan itu secara dasar­nya akan menurunkan harga barang sedia ada dan pihak berkuasa perlu memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan dalam situasi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dari segi inflasi, BNM akan membuat semakan semula jika perlu memandangkan bank pusat membuat unjuran kadar inflasi bagi purata antara dua hingga tiga peratus tahun ini.

“Secara dasarnya, tidak ada kesan kepada inflasi tetapi angka yang kami dapat dari suku pertama tahun ini adalah 1.8 peratus dan ia berada dalam unjuran kami.

“Mengenai dasar monetari, kami kebiasaannya turut melihat kepada inflasi dan jika ada perubahan besar, kami akan maklumkan (kepada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari),” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan pres­tasi ekonomi suku pertama 2018 di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Kewangan da­lam satu kenyataan menetapkan, bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport adalah sifar GST.

Penetapan tersebut tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan dari GST.

GST sebelum ini dikuatkuasakan sejak 2015 yang mengenakan kadar enam peratus. Kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berhasrat untuk mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Cukai itu berbeza dengan SST kerana levinya dikenakan di semua peringkat rantaian bekalan, bermaksud pengilang dan pembekal juga perlu membayar cukai ke atas barangan yang dihasilkan. Ia juga dikenakan pada kadar rata berbanding kadar berubah-ubah bagi SST yang menjadikannya lebih mudah dan cekap untuk diuruskan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhammad memberitahu, lima daripada firma insurans asing di negara ini menunjukkan kemajuan dalam perbincangan mereka dengan syarikat pelaburan tempatan.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh ini (sepatutnya pada Jun 2018) berdasarkan kepada perbincangan yang sedang berjalan ketika ini,” katanya.

BNM tahun lalu me­nguat­kuasakan had pemilikan asing sebanyak 70 peratus dan mahu syarikat insurans meningkatkan penyertaan peme­gang saham tempatan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus. Mereka mempunyai sehingga Jun 2018 untuk meme­nuhi syarat tersebut dan syarikat yang gagal meme­nuhi peraturan akan berdepan tindakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×