SELASA 15 Mei 2018 adalah Hari Nakba yang membawa maksud Hari Malapetaka sebagai memperingati ketika lebih 700,000 rakyat Palestin dihalau dari tanah air mereka pada 1948 untuk memberi ruang kepada pembentukan Israel. Pada hari ini jumlah pelarian tersebut telah meningkat kepada tujuh juta orang dan kini negara Palestin terbelah kepada dua iaitu Genting Gaza dan Tebing Barat yang sempadannya dikawal oleh tentera rejim Israel.
Begitu juga pada Isnin 14 Mei lalu rejim Israel menyambut ulang tahun ke-70 penubuhan negara tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Palestin. Pada tahun ini juga Israel memilih tanggal 13 Mei sebagai Hari Jerusalem yang antara lain sebagai sambutan mengiktiraf Baitulmuqaddis adalah milik mereka sepenuhnya.
Bukan secara kebetulan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump memilih tarikh 14 Mei sebagai perpindahan simbolik pejabat kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis yang antara lain memberi maksud Washington tanpa berselindung mengiktiraf Baitulmuqaddis milik Israel sepenuhnya. Pejabat kedutaan di Baitulmuqaddis yang dirasmikan Isnin lalu hanyalah penempatan sementara kerana lokasi tetap belum lagi ditentukan.
Tergesa-gesanya perpindahan dibuat adalah kerana beberapa sebab. Pertama, sebagai bukti kepada rakyat AS bahawa janji kempen Trump telah ditunaikan dan kedua, yang dianggap lebih kritikal adalah kerana kerapuhan kerajaan Palestin akibat kegagalan rancangan penyatuan kerajaan Fatah dan Hamas yang kini terbengkalai.
Sambutan pembukaan pejabat kedutaan yang turut dihadiri oleh Ivanka Trump seolah-olah tersisih dari realiti dan kritikan pemimpin global lain seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom. Malah, perlakuan kejam tentera rejim Israel yang menembak mati lebih 50 rakyat Palestin di sempadan Gaza yang hanya berjarak 90 kilometer dari lokasi pejabat kedutaan AS di Baitulmuqaddis seolah-olah tidak memberi kesan kepada mereka yang hadir dalam upacara perasmian tersebut.
Sebab itu penting bagi rakyat Malaysia sentiasa peka dan memahami geopolitik rantau Asia Barat kerana ia sering berkait dengan senario antarabangsa yang sering kali membabitkan percaturan antara kuasa besar. Pada ketika ini pemimpin global lain terutama sekali dari Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan China berdepan dengan kemelut apabila Trump pada 8 Mei lalu mengumumkan akan menarik diri daripada perjanjian nuklear yang membabitkan Iran.
Kesan daripada pengumuman Trump ini yang sedikit sebanyak telah mengendurkan perhatian pemimpin dunia lain dengan malapetaka yang sedang melanda rakyat Palestin. Ini adalah kerana implikasi kegagalan perjanjian nuklear Iran bukan sahaja bakal memberi kesan negatif terhadap kestabilan dunia tetapi juga memberi kesan ekonomi terhadap negara yang sering berurusan dengan Iran dan ini turut juga membabitkan Malaysia.
Apabila Trump pada 6 Disember lalu mengumumkan akan memindahkan pejabat kedutaan AS ke Baitulmuqaddis, bantahan secara bersepadu berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia dan pada ketika itu rakyat Malaysia begitu peka dan menaruh minat untuk mengetahui secara terperinci apa sahaja hal berkaitan Baitulmuqaddis.
Pernah berlaku pada tahun lalu satu pertubuhan tempatan di Malaysia berhasrat meraikan Hari Jerusalem yang ketika itu jatuh pada 24 Mei dan menariknya alasan yang digunakan adalah sebagai meraikan perayaan sambutan upacara agama dan tiada kena mengena dengan geopolitik Asia Barat. Sudah pasti pada hari ini rakyat Malaysia sudah peka dengan maksud perayaan Hari Jerusalem dan akan membantah jika masih ada pihak di sini yang berniat untuk menganjurkan perayaan tersebut.
Rakyat Malaysia amat memahami bahawa status Baitulmuqaddis begitu sensitif apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 meluluskan Resolusi 181 untuk memecahkan negara Palestin kepada dua negara berbeza demi memberi laluan penubuhan Israel, Baitulmuqaddis sebenarnya diberi status corpus separatum, iaitu bandar tersebut diletakkan di bawah seliaan PBB dan bukannya milik Israel sepenuhnya.
Setiap tahun tarikh Hari Kemerdekaan Israel berubah mengikut turutan kalendar Yahudi dan pada tahun ini sambutan jatuh pada 18 April. Paling menarik adalah pada 2016, Hari Kemerdekaan tersebut jatuh pada 12 Mei dan tiga hari selepas itu rakyat Palestin memperingati Hari Malapetaka mereka. Jika pada 2016 Hari Malapetaka ditenggelami sambutan Hari Kemerdekaan rejim Israel, maka pada tahun ini pula isu perpindahan pejabat kedutaan AS telah mengaburi hari peringatan kesengsaraan rakyat Palestin.
Tidak dapat dipisahkan kaitan antara Hari Jerusalem, Hari Kemerdekaan Israel dan Hari Malapetaka Palestin kerana ketiga-tiga peristiwa tersebut tidak berlaku secara bersendirian. Sebab itu juga betapa pentingnya rakyat Malaysia bukan sahaja memahami latar belakang ketiga-tiga peristiwa tersebut tetapi lebih kritikal memberi perhatian istimewa terhadap Hari Malapetaka.
Ini kerana dunia seolah-olah langsung tidak mampu memberi perhatian sewajarnya kepada kesengsaraan rakyat Palestin yang cuba diberi perhatian istimewa pada setiap 15 Mei. Jika ditinjau reaksi dunia terhadap pembunuhan yang didalangi oleh tentera rejim Israel bukan sahaja ketika bantahan perpindahan kedutaan AS ketika ini tetapi banyak lagi perlakuan kejam tentera rejim Israel, maka dapat dinyatakan reaksi adalah begitu terhad sekali. Harapannya, rakyat Malaysia tidak melupai kesengsaraan dan perjuangan rakyat Palestin.











