Pertikai cara geledah - Utusan Malaysia

Pertikai cara geledah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mei – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak bersetuju dengan tindakan polis menggeledah rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggapnya dilakukan pada waktu yang tidak sesuai.

Ini kerana, katanya, sebarang proses pendakwaan dan siasatan perlu dilakukan dengan bijak.

Malah, beliau memohon polis sentiasa menerapkan prinsip keadilan dan berhemah dalam melakukan siasatan.

“Sebagai bekas mangsa geledah polis pada awal subuh, saya mesti menyatakan rasa tidak bersetuju ini terhadap tindakan polis yang menggeledah mana-mana kediaman pada waktu awal pagi dan ini tidak bersesuaian,” kata­nya menerusi akaun Twittter milik beliau di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan polis yang menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri itu di Langgak Duta di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang turut mengesahkan tindakan itu berkata, proses menggeledah berkenaan dilakukan polis untuk ‘mencari sesuatu’ di kediaman Najib.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad turut bersetuju dengan pendapat Nurul Izzah dengan menyifatkan tiada sesiapa yang perlu dimalukan atau dilanggar haknya.

Katanya, yang juga Pengarah Komunikasi PAN, pendakwaan boleh dilakukan selepas siasatan selesai.

“Saya amat bersetuju de­ngan Nurul Izzah berhubung isu ini. Perlu disiasat tetapi tidak perlu memalukan atau melanggar hak sesiapa. Selepas selesai menyiasat, dakwa. Tiada alasan untuk menyiasat sehingga pukul 4 pagi. Saya pernah dibawa polis pada pukul 2.30 pagi,” ujarnya melalui laman Twitter miliknya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen melalui laman Facebook miliknya memberitahu, dalam temu bual secara langsung bersama CNBC dua hari lalu, beliau menegaskan bahawa rakyat mesti menghormati bekas Perdana Menteri serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya, penghormatan itu perlu diberi sebagai mengiktiraf sumbangan bapa Najib yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein kepada negara.

“Kita mesti membuat pendakwaan sepenuhnya tetapi bukan dengan cara memalukan. Proses pematuhan dan standard undang-undang yang tinggi harus dijalankan,” jelas­nya.

Malah, katanya, foto terbaharu memaparkan Najib tertidur di atas sofa pada waktu kediamannya digeledah yang tular dalam media sosial dianggap amat memalukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×