Ahlan ya Ramadan - Utusan Malaysia

Ahlan ya Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDAHNYA Ramadan. Sejak Khamis lalu, masjid dan surau kembali dipenuhi oleh jemaah. Jika sebelum ini waktu Subuh hanya satu atau dua saf, fajar Ramadan meningkatkan bilangannya kepada lima ke enam saf. Alhamdulillah, itu adalah keberkatan yang terdapat di dalam bulan puasa yang diakhirnya kita berharap menjadi golongan orang bertakwa. (rujuk al-Baqarah: 183)

Solat tarawih pula usah cakap. Pada minggu pertama puasa ini, masjid-masjid dan surau-surau jemaahnya melimpah ruah. Kadang-kadang kita pun terkejut, rupanya umat Islam di kawasan rumah kita sebenarnya ramai. Tetapi mari kita bersangka baik, mungkin jemaah-jemaah baharu yang kita jumpa itu sebelum ini berjemaah di tempat lain dek hambatan masa dan waktu bertugas.

Sebagai orang Islam, selain kita puasa kerana ia adalah satu daripada rukun Islam, puasa juga adalah antara langkah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Untuk itu, amat perlu bagi kita memahami falsafah puasa supaya puasa kita itu tidak hanya menahan lapar dan dahaga. Sebaliknya, hayatilah segala keistimewaan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan juga akhirat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keistimewaan pertama, diturunkannya al-Quran dalam bulan Ramadan sebagai petunjuk bagi manusia dari kegelapan menuju cahaya. Dengan Al-Quran ini, Allah memperlihatkan kepada mereka kebenaran (al-haq) dari kebatilan. Al-Quran yang di dalamnya terkandung kebaikan dan kebahagiaan kemenangan bagi umat manusia, serta keselamatan di dunia dan di akhirat.

Keistimewaan kedua, diwajibkannya berpuasa pada bulan tersebut kepada umat Muhammad SAW, ketika Allah SWT memerintahkan hal tersebut dalam firman-Nya yang bermaksud: …Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. (al-Baqarah: 185).

Ramadan juga adalah bulan penghapus dosa. Berpuasa Ramadan dapat menghapus dosa-dosa yang pernah kita lakukan sama ada yang sedar atau tidak sedar. Syaratnya, ia dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berdasarkan iman dan mengharapkan pahala. Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala Allah SWT, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Muttafaqun alaih).

Yang kedua, dalam Ramadan juga dibukanya pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Ini antara lain menjawab persoalan mengapa dalam bulan berkat ini, kita lebih mudah terdorong melakukan kebaikan bukan sahaja dalam bab lebih mudah solat berjemaah tetapi juga melakukan pelbagai perkara sunat termasuk bersedekah.

Jadi jangan lepaskan peluang ini. Kesempatan berada dalam Ramadan kali ini perlu kita gunakan sebaik mungkin. Tetapkan azam dan tekad tiada hari tanpa solat jemaah terutama Subuh dan Isyak. Setiap hari menghabiskan satu juzuk al-Quran agar dapat khatam apabila berakhirnya Ramadan. Bersedekah waima RM1 setiap hari atau sebiji tamar sekalipun. Jika tiada kemampuan kewangan, bersedekahlah tenaga atau kemahiran yang kita ada supaya tidak terlepas ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah. Seterusnya tunaikanlah solat sunat tarawih yang hanya ada dalam Ramadan.

Ganjaran pahala bagi mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam Ramadan adalah berlipat ganda. Ibadah fardu diberi pahala sehingga 70 kali ganda, ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardu.

Nabi SAW adalah contoh terbaik dan insan paling dermawan apabila tiba Ramadan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.h: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi dalam bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran dan kedermawanan baginda SAW melebihi angin yang berhembus. (Riwayat Bukhari)

Untuk terus mengujakan semangat bersedekah dalam Ramadan, hayatilah sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya di syurga ada ruangan-ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa dan solat pada waktu kebanyakan manusia tidur. (Riwayat at-Tirmidzi)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN