KUALA LUMPUR 17 Mei – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan melakukan sentuhan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Sabtu lalu.
Kamarulzaman Abd. Rashid, 48, didakwa melakukan sentuhan seksual secara fizikal ke atas murid tadika tersebut kira-kira pukul 7.30 malam, 12 Mei lalu di dalam sebuah van jenis Nissan Vanette berwarna putih di tepi jalan di Taman Pandan Mewah dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Arunjothy mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Tertuduh yang hanya meniaga air itu tidak diwakili peguam merayu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes.











