PETALING JAYA 17 Mei – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan sejumlah wang milik Yayasan Budi Penyayang melebihi RM2 juta, lapan tahun lalu.
Helmy Abdul Halim, 43, dan isterinya Shanizarina Shamsuddin, 43, yang merupakan eksekutif kanan pentadbiran dan kewangan di yayasan tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Shanizarina didakwa telah melakukan pecah amanah melibatkan jumlah RM1,085,296 dengan cara menyalahgunakan harta tersebut untuk kegunaan peribadi.
Wanita itu juga didakwa telah memasukkan wang tersebut ke dalam akaun suaminya yang bukan kakitangan yayasan tersebut.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Helmy didakwa telah bersubahat dengan Shanizarina melakukan pecah amanah wang Yayasan Budi Penyayang berjumlah RM972,936.35 untuk kegunaan peribadi.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 408 dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.










