KOTA KINABALU 17 Mei – Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila merampas 10.6 kilogram pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM750,000 dalam satu serbuan di sebuah kondominium dekat sini, semalam.
Video oleh FAUZI SUHAIMI
Dalam serbuan pada pukul 11.15 pagi itu, polis turut menahan dua individu termasuk seorang wanita warganegara China dipercayai pasangan kekasih yang bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak sebulan lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun ketika berada di dalam sebuah pacuan empat roda di tempat letak kenderaan di kondominium berkenaan.
‘‘Hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis menjumpai sebungkus plastik hitam bersaiz kecil yang mempunyai empat paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis syabu berada dalam poket seluar suspek.
‘‘Hasil soal siasat, polis menyerbu rumah suspek dan berjaya menemukan sebungkus plastik hitam mengandungi lima peket plastik besar berwarna perak, 105 peket plastik jernih kecil setiap satu berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis sama.
‘‘Selain itu, polis turut menemukan lima peket plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi dadah jenis ekstasi dan dua daripadanya dadah jenis ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Hussain @ Abd. Rasid.
Ramli menambah, pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai bernilai RM30,000 yang disimpan dalam sebuah beg di sebuah bilik rumah berkenaan.
Katanya, kes rampasan tersebut disifatkan yang terbesar di Sabah setakat ini.
‘‘Semua barang rampasan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda disita bagi membantu siasatan manakala kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.










