SEPANG 17 Mei – Skuad Piala Thomas negara menerima perkhabaran kurang baik apabila pemain beregu lelaki negara, Mohd. Arif Ab. Latif mengalami kecederaan di bahagian mata.
Bekas pemain perseorangan negara itu mengakui, mengalami kecederaan di hujung mata kanannya, namun memberi jaminan perkara itu tidak akan menjejaskan permainannya jika diberi peluang beraksi di Bangkok, bermula hujung minggu ini.
“Sewaktu bangun pagi ini, saya merasakan sesuatu tidak kena pada mata kanan saya dan kemudian merasakan pedih selepas digosok.
“Saya kemudian berjumpa doktor ISN (Institut Sukan Negara) yang bersama pasukan dan dia menjelaskan memang ada sedikit luka di bahagian hujung mata kanan tetapi tidak begitu serius, ubat pun sudah diberikan kepada saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Arif berkata, aksi di Piala Thomas kali ini tidak banyak beza berbanding sebelum ini, meskipun dia akan menggalas cabaran negara di dalam acara beregu berbanding perseorangan sebelum ini.
Katanya, selepas bergandingan bersama Nur Mohd. Azriyn Ayub dalam beberapa kejohanan sebelum ini, aksinya semakin menunjukkan perkembangan positif dalam acara itu.
Dia juga tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pemain sekiranya diberi peluang beraksi di kejohanan dwitahunan yang bermula dari 20-27 Mei ini kerana sudah dilatih secara bersama-sama semasa sepanjang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Saya tidak kisah bergandingan dengan mana-mana pemain kerana itu keputusan jurulatih dan mereka tahu gandingan yang terbaik untuk memberikan mata kepada negara.
“Mungkin digandingan bersama (Teo) Ee Yi, tetapi saya tidak pasti sebab semasa latihan, saya bergandingan dengan hampir kesemua pemain yang ada,” katanya yang kali terakhir beraksi bersama skuad Piala Thomas pada 2008 sebagai pemain perseorangan.










