SEPANG 17 Mei – Pemain beregu wanita, Chow Mei Kuan menyifatkan kehadiran semula pasangannya, Lee Meng Yean selepas pulih daripada kecederaan jelas memberi kelebihan kepadanya bagi meneruskan misi negara di kejohanan badminton Piala Uber yang akan berlangsung di Bangkok, hujung minggu ini.
Meng Yean sebelum ini terpaksa direhatkan selama tiga bulan akibat kecederaan lutut kanan selain terlepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari lalu.
Mei Kuan bagaimanapun, meminta supaya pasangannya itu diberikan peluang untuk menyesuaikan diri semula selepas berehat panjang tetapi dia percaya Meng Yean akan kembali ke tahap terbaiknya tidak lama lagi.
“Bagi saya, kehadiran Meng Yean adalah satu kelebihan kerana lawan tidak pasti apakah strategi permainan yang akan digunakan semasa kami beraksi.
“Bagaimanapun, jika kami digandingkan dengan pemain lain juga tidak akan menjadi masalah kerana kami mempunyai strategi bersesuaian bergantung kepada lawan ketika itu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, di sini hari ini
Sementara itu, pemain perseorangan ketiga negara, Lee Ying Ying berkata, peluangnya untuk menyumbang mata buat negara sentiasa terbuka kerana persaingan adalah seimbang buat semua negara yang bersaing.
Dia juga mengakui sangat gementar untuk beraksi terutama jika diturunkan bagi meraih mata penentu dalam sesebuah perlawanan penting di dalam kejohanan dwitahunan itu.
“Peluang untuk meraih mata sebagai perseorangan ketiga itu terbuka kepada semua kerana ketika ini semuanya kelihatan seimbang.
“Jujur saya katakan, saya agak gementar tetapi saya percaya mampu mengatasi perkara itu dan beraksi cemerlang semasa berada di dalam gelanggang,” katanya yang juga naib juara remaja dunia 2015.










