KUALA TERENGGANU 17 Mei – Bagi terus mendekatkan institusi masjid dengan masyarakat setempat sejajar dengan usaha mempelbagaikan fungsinya sebagaimana silam, Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar di sini menggerakkan program Sentuhan Kasih sepanjang Ramadan.
Melalui salah satu bentuk pendekatan pengimarahan, jawatankuasa masjid akan meninjau kehidupan masyarakat setempat yang kurang bernasib baik di samping menghulurkan sumbangan serta merujuk kes-kes kepada jabatan dan agensi mereka jika layak mendapat bantuan seterusnya.
Pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Tuan Ahmad Tuan Besar memberitahu, buat permulaan, sebanyak RM5,000 hasil sumbangan para jemaah diperuntukkan bagi membantu kalangan kurang kemampuan termasuk warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya dengan menghulurkan barangan keperluan harian kepada 50 orang penerima.
“Pogram yang bermula semalam akan dilakukan berterusan yang antara lain bagi mencerminkan keprihatinan masjid terhadap anggota masyarakat sebagai sebuah institusi paling hampir dengan kehidupan,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, langkah ini juga dapat menggalakkan lagi amalan menderma sebagai budaya kalangan jemaah bukan sahaja untuk memakmurkan masjid tetapi juga membantu kalangan yang susah.
“Di samping itu hubungan antara jawatankuasa masjid dan masyarakat di sekitar dapat diperkukuhkan dengan membantu setakat yang termampu untuk meringankan beban kehidupan,” ujarnya.










