LYON – Penyerang Atletico Madrid, Fernando Torres mengakui meraih kejuaraan di pentas final Liga Europa awal pagi semalam telah berjaya merealisasikan impian yang diidam-idamkan sejak kecil.
Atletico berjaya menundukkan Marseille 3-0 pada aksi final tersebut di Lyon, sekali gus menjulang trofi keenam mereka sepanjang berada di bawah kendalian Diego Simeone.
Ia merupakan trofi pertama Torres ketika bersama Atletico selepas menghabiskan masa selama 11 musim bersama Rojiblancos.
Pentas final tersebut merupakan penampilan terakhirnya bersama Atletico selepas dia dijangka meninggalkan kelab tersebut penghujung musim ini. Torres diturunkan pada minit ke-90 setelah melakukan pertukaran dengan Antoine Griezmann yang menjadi wira dalam pertembungan tersebut.
“Kemenangan ini ibarat mimpi indah kerana ia menjadi realiti memandangkan impian tersebut lahir dalam diri sejak kecil lagi.
“Sangat membanggakan ketika menjadi sebahagian daripada pasukan ini walaupun ia sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar.
“Ia adalah pengakhiran sempurna dan saya sentiasa berterima kasih kepada pasukan kerana telah membantu mencapai keinginan ini,” kata Torres.
Sementara itu, kapten pasukan, Gabi yang melengkapkan gol ketiga buat Atletico merasakan Torres layak mendapat penghormatan terbaik daripada Rojiblancos. – Agensi










