KUALA LUMPUR – Titan Empire Event Management akan menganjurkan acara larian terbesar sempena kejohanan terhebat Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Moscow, Rusia pada 14 Jun hingga 15 Julai tahun ini.
Acara Piala Dunia FIFA 2018 Futbal Fanatix Run @ Shah Alam itu bertujuan menghimpunkan peminat bola sepak dari seluruh negara bagi menyaksikan perlawanan secara langsung kejohanan berprestij itu.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mahadi BZ berkata, acara berkonsepkan ceria bersama masyarakat itu akan diadakan pada hari yang sama perlawanan suku akhir bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 berlangsung iaitu pada pukul 10 malam 7 Julai depan.
“Acara itu akan bermula pada pukul 7.30 malam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam melibatkan tiga acara larian berbeza iaitu tiga, lima dan 10 kilometer.
“Selain acara larian, turut diadakan ialah tarian zumba, mini karnival, persembahan artis dan penampilan istimewa pemain-pemain dan legenda bola sepak tanah air,” katanya.
Tambahnya, selain itu, acara busking, food truck, belon panas dan cabutan bertuah dengan hadiah menarik juga disediakan.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai larian tersebut boleh melayari www.futbalfanatix.com atau hubungi 03-7733 5778 untuk maklumat lanjut.










