BN Sarawak timbang kerajaan bebas - Utusan Malaysia

BN Sarawak timbang kerajaan bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 16 Mei – Kedudukan Barisan Nasional (BN) Sarawak kembali menjadi tanda tanya apabila Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama tiga parti komponen mempertimbangkan untuk membentuk kerajaan ne­geri yang bebas berasaskan gabungan bersatu Sarawak.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, satu mesyuarat khas antara PBB dengan parti komponen iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan diadakan bagi membincangkan khusus tentang kedudukan mereka dalam BN.

Katanya, mesyuarat yang belum ditetapkan tarikhnya itu penting bagi menentukan masa depan kerajaan negeri sama ada kekal bersama BN atau memilih sebagai parti bebas berasaskan gabungan bersatu Sarawak.

“Kerajaan Sarawak bagaima­napun tidak akan menyertai Pakatan Harapan tetapi menjadi parti yang mesra dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan dan masa depan rakyat Sarawak.

“Kita dalam PBB komited bergerak ke hadapan untuk menjadi lebih kuat demi kepentingan rakyat Sarawak yang dicintai,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB di Ibu pejabat PBB, Jalan Bako di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, kerajaan negeri pimpinannya akan kekal bersikap strategik dan bebas memainkan peranan sebagai juara melindungi kepenti­ngan Sarawak demi menjunjung harapan dan impian rakyat yang mahu melihat negeri ini lebih gah membangun pada masa depan.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri yang merupakan kerajaan memerintah Sarawak ketika ini akan meneruskan manifesto BN Sarawak yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak pada 2016.

Katanya, antara perkara menjadi fokus utama ialah memba­ngunkan kawasan luar bandar dan merealisasikan tuntutan hak istimewa rakyat Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kami yang mempunyai 19 ahli Parlimen dipilih termasuk 13 daripada PBB akan bersuara lantang memperjuangkan kepentingan Sa­rawak di Parlimen,” ujarnya.

Ditanya tentang kemungkinan kerajaan Pakatan Harapan akan menyekat atau menghadkan peruntukan bagi Sarawak, Abang Johari berkata, terpulang kepada kerajaan baharu tersebut tetapi mengikut Perlembagaan, adalah menjadi kewajipan bagi Kerajaan Persekutuan untuk memberikan peruntukan pembangunan bagi semua negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×