CYBERJAYA – Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang diarah membuat pemeriksaan kenderaan di hadapan ibu pejabat Kementerian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini dipercayai untuk mengawal sebarang cubaan membawa keluar dokumen kerajaan.
Sumber berkata, kumpulan anggota polis tersebut memulakan pemeriksaan kenderaan sejak awal semalam ke atas kenderaan yang keluar dari bangunan SKMM.
Ujar sumber itu lagi, tiada serbuan di mana-mana pejabat SKMM di situ. Sebaliknya hanya pemeriksaan kenderaan itu dilakukan di jalan keluar bangunan tersebut.
“Tiada serbuan, cuma pemeriksaan biasa dilakukan ke atas kenderaan yang keluar dari bangunan ini,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam Twitternya berkata beliau difahamkan terdapat cubaan membawa keluar dokumen kerajaan dari SKMM.
Portal Malaysiakini melaporkan pemeriksaan tersebut dilakukan atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memastikan tiada dokumen dibawa keluar daripada kementerian dan agensi itu. – K! ONLINE










