Bayi lelaki ditemui di kawasan masjid - Utusan Malaysia

Bayi lelaki ditemui di kawasan masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN 16 Mei – Seorang bayi lelaki ditemukan dalam keadaan sempurna diletakkan di dalam sebuah kotak di dalam kawasan Masjid Ar-Rahman Parit Gantung, Sungai Rambai di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, seorang jemaah perempuan telah memberitahu kepada pengadu bahawa dia telah menjumpai bayi terbabit dalam kawasan masjid yang diletakkan di dalam sebuah kotak berbalut dengan kain bersama botol serta bungkusan susu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, pengadu kemudiannya membawa bayi berkenaan ke rumah mereka bagi membersihkan kotoran najis pada bayi tersebut.

“Kemudian bayi itu dibawa ke Balai Polis Rambai untuk diserahkan pada pihak polis. Kira-kira pukul 7.30 pagi, pengadu telah membawa bayi ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai bagi mendapatkan rawatan lanjut, seterusnya bagi menyerahkan bayi tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Bayi tersebut akan dibawa ke Hospital Besar Melaka bagi siasatan dan urusan selanjutnya dan wakil pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka maklum akan memberikan perlindungan sementara kepada bayi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×