BERITA pemergian bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Elyas Omar yang meninggal dunia semalam mengundang duka buat arena sukan negara termasuk bekas pemain yang pernah beraksi di era kepimpinannya.
Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Rashid Sidek mengakui sumbangan Elyas dalam sukan badminton negara cukup besar termasuk membantu Malaysia merangkul kejuaraan Piala Thomas di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 1992.
Pada masa sama, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu juga berkata, ketika Elyas memegang pucuk pimpinan BAM pada 1985 hingga 1993, beliau merupakan individu yang cukup rapat dengan para pemain.
“Sumbangan beliau dalam sukan badminton negara cukup besar kerana berjaya mengubah sistem sehingga membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas pada 1992 selepas sekian lama kemarau kejuaraan. Beliau boleh dianggap sebagai bapa pembangunan sukan badminton negara.
“Selain itu, keramahan beliau ketika bergaul dengan pemain membuatkan kami tidak kekok untuk bersamanya. Beliau juga banyak menghulurkan bantuan kepada pemain-pemain yang berada dalam kesusahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Elyas, 82, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 petang semalam di Institut Jantung Negara (IJN) akibat daripada pelbagai komplikasi penyakit.
Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad remaja, Kwan Yoke Meng yang pernah berkhidmat di bawah seliaan Elyas mengakui negara kehilangan permata bernilai khusus dalam arena sukan badminton.
“Elyas antara presiden terbaik yang saya kenal kerana beliau menjaga pemain bermula sebagai amatur hingga ke profesional tanpa sebarang tekanan hingga kami berjaya menebus semula kejuaraan Piala Thomas pada 1992.
“Pada tahun 1988 dan 1990 kami hanya mampu muncul sebagai naib juara Piala Thomas tetapi dengan keyakinan Elyas serta dorongan beliau membuatkan kami berjaya meraih trofi keramat tersebut di halaman sendiri. Itu antara kenangan yang saya tidak boleh lupakan,” katanya.










