KUKU mereka dihias cantik, solekan wajah sempurna dan bergaya membuatkan sekumpulan wanita itu kelihatan seperti eksekutif kanan.
Sambil menghirup coklat panas daripada cawan porselin, mereka membincangkan mengenai jadual kerja yang panjang, cabaran untuk meluangkan masa dengan anak-anak dan berkongsi strategi untuk menambah pelanggan serta menangani masalah pelanggan yang cerewet.
Sebenarnya sekumpulan wanita itu bukanlah pengarah syarikat, pakar kewangan ataupun peguam korporat.
Mereka ialah wanita yang berani memecah tradisi sebagai pemandu teksi kerana sebelum ini pekerjaan tersebut didominasi oleh lelaki di Nairobi, Kenya.
Pemandu teksi wanita itu menawarkan perkhidmatan melalui aplikasi e-teksi.
“Pada awalnya, saya tidak menyangka untuk melakukan kerjaya ini tetapi selepas menggunakan aplikasi e-teksi saya merasakan ia pekerjaan yang sangat bagus untuk wanita.
“Pekerjaan ini mudah, selesa dan selamat malah jauh lebih baik daripada duduk di rumah dan mengharapkan pemberian orang,” ujar Lydia Muchiri, 29, yang memakai dres putih bercorak bunga paras lutut.
Fleksibel
Aplikasi teksi yang tumbuh bagaikan cendawan di Nairobi bagi menampung kelemahan sistem pengangkutan awam di negara itu telah menambah bilangan pemandu wanita kerana ia menawarkan waktu bekerja fleksibel, boleh memilih penumpang dan pembayaran dijamin.
Pemandu teksi wanita online di Nairobi mewakili tiga peratus daripada keseluruhan 12,000 pemandu e-teksi yang menggunakan aplikasi tersebut tetapi bilangan itu dijangka meningkat. Salah satu platform e-teksi yang popular di Nairobi iaitu Little Cabs. Perkhidmatan secara online ini menyaksikan peningkatan 13 kali ganda pemandu teksi wanita dalam tempoh dua tahun lalu.
“Sejak ditubuhkan pada Jun 2016, Little Cabs pada awalnya hanya mempunyai 27 pemandu wanita dan kini bertambah kepada 381 orang.
“Kami menyasarkan 1,000 orang pemandu wanita pada hujung tahun ini,” ujar cerita Pengurus Operasi Little Cabs, Jefferson Aluda.
Terangnya, ramai orang berfikir memandu teksi adalah pekerjaan lelaki tetapi pandangan itu berubah.
Pun begitu, Little Cabs menerima banyak maklum balas pelanggan yang sangat selesa dengan cara pemanduan wanita kerana mereka lebih berhati-hati dan profesional.
Ekonomi Kenya telah meningkat sebanyak lima peratus setiap tahun sejak sedekad yang lalu tetapi faedah tidak diagihkan sama rata dan wanita tetap kurang bernasib baik sama ada dari aspek sosial, ekonomi dan politik.
Menurut Biro Perangkaan Kebangsaan Kenya, hanya satu pertiga daripada 2.5 juta pekerja di sektor formal merupakan wanita dan mereka memiliki satu peratus tanah pertanian.
Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, sekurang-kurangnya sedozen aplikasi e-teksi telah dilancarkan untuk memenuhi tuntutan kelas pertengahan.
Pemandu memperoleh AS$0.30 (RM1.20 )seminit dan syarikat mengambil 25 peratus pendapatan mereka tetapi pemandu wanita masih mengalu-alukan peluang yang disediakan oleh firma lain seperti Uber, Taxify, Little Cabs dan Pewin.
Diskriminasi
Tolak kos syarikat, minyak dan sewa kereta, pemandu yang bekerja selama 12 jam sehari boleh mendapat bayaran AS$600 (RM2, 405).
Seorang ibu tunggal lima anak, Faridah Khamis mengambil keputusan menjadi pemandu teksi secara online sejak Februari tahun lalu. “Pekerjaan ini sangat selamat untuk wanita, maka saya mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya ini kerana tidak perlu berada di atas jalan sepanjang masa tetapi mencari pelanggan menerusi aplikasi dari rumah sahaja,” katanya.
Pemandu wanita hanya memilih penumpang di lokasi yang selamat dan tidak terpencil.
Syarikat e-teksi juga menjejaki mereka menerusi isyarat sistem kedudukan global (GPS) dan aplikasi itu juga dilengkapi butang isyarat kecemasan sekiranya pemandu memerlukan bantuan.
Pegawai Uber berkata, aplikasi sebegini memberi ruang untuk memperkasakan ekonomi wanita terutamanya di negara-negara membangun seperti Kenya.
Pun begitu, tidak semuanya berjalan lancar bagi pemandu wanita di Kenya kerana berdepan diskriminasi dan keganasan.
Nombor telefon pemandu wanita yang digunakan untuk pelanggan mengakses aplikasi tersebut menyebabkan mereka diganggu dengan panggilan untuk temu janji.
Salah seorang pemandu wanita meluahkan kekecewaannya apabila ada segelintir orang yang melabel mereka seperti pekerja seks kerana berpakaian cantik, bekerja pada waktu malam dan melakukan pekerjaan lelaki.
Sementara itu, seorang wanita yang lain berkata, keadaan tersebut jarang berlaku dan bekerja dalam teksi telah memberi inspirasi kepada mereka untuk memiliki kenderaan sendiri. “Kami bangga dengan diri sendiri dan kerja ini kerana sama sahaja dengan mereka yang bekerja di pejabat.
“Kami melihat kereta sebagai pejabat maka, perlu berpenampilan profesional,” tuturnya. – Thomson Reuters Foundation










