PULAU PINANG 15 Mei – Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Khayriyyah Mohd. Hanafiah mengharumkan nama universiti itu apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir FameLab Malaysia 2018.
Pertandingan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini diadakan sempena persidangan Going Global Conference.
Dengan kemenangan itu, Siti Khayriyyah, 33, akan mewakili negara ke pertandingan Famelab peringkat antarabangsa sempena Cheltenham Science Festival di United Kingdom (UK) pada 7 Jun ini.
Siti Khayriyyah memukau panel hakim pertandingan dan lebih 200 orang hadirin dengan menjelaskan bagaimana penyakit batuk kering boleh tersembunyi dalam badan untuk bertahun-tahun, kemudian diaktifkan semula oleh virus dan boleh menyebabkan kematian pada mereka yang menghidapinya serta bagaimana hendak mengatasinya.
Beliau berjaya menewaskan sembilan finalis lain sekali gus menggondol hadiah utama berupa wang tunai RM3,000 dan trofi selain berpeluang melawat makmal penyelidikan di Eropah.
Pada pertandingan akhir nanti, Siti Khayriyyah akan bertanding dengan pemenang-pemenang dari lebih 25 negara yang mengambil bahagian untuk merebut kejuaraan peringkat antarabangsa.
FameLab Malaysia 2018 adalah pertandingan menguji kemahiran peserta menyampaikan konsep sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan bentuk yang kreatif dan bahasa yang mudah difahami orang awam dalam tempoh tiga minit.
Dianjurkan bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan British Council Malaysia, ia terbuka kepada kesemua rakyat Malaysia termasuk saintis, jurutera, ahli teknologi, ahli matematik dan peminat serta pengamal STEM berumur 21 tahun dan ke atas.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Bersama Kerajaan MIGHT, Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid.










