KUALA LUMPUR 15 Mei – Syarikat pengeluar produk kecantikan dan kesihatan, Magika tidak gentar berhadapan dengan risiko diboikot oleh pengguna lantaran pelantikan Izreen Azminda, 33, sebagai dutanya.
Mengakui sedar akan kewujudan risiko itu, pengasasnya, Azura Baharudin, menyerahkan segalanya kepada Allah dalam menentukan rezeki setiap hamba-Nya.
“Saya sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah itu Maha Kuasa. Dia takkan menurunkan ujian yang tidak mampu dihadapi oleh seseorang manusia.
“Siapa tahu, kerjasama antara Magika dan Izreen akan membuka satu lembaran baharu yang menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya menjawab soalan media.
Azura berkata demikian usai memeterai perjanjian pelantikan Izreen mewakili salah satu daripada tiga jenis produk keluaran Magika iaitu Magika Argan Cleansing Flakes (MACF).
Sementara itu, Izreen menjelaskan, dia kekal menjalani rutin harian seperti biasa walaupun mengakui kontroversi yang dilalui memberi impak terhadap emosinya.
“Namun, pengalaman selama 12 tahun berada dalam industri telah mematangkan saya. Hidup perlu diteruskan, jadi saya kena kuat untuk melangkah.
“Sampai bila saya nak ratap perkara yang dah berlaku? Saya ada bil yang nak dibayar dan banyak perbelanjaan lain kena tanggung” tambahnya. – UTUSAN ONLINE










