Mavcom sangkal tuduhan Tony Fernandes, buat laporan polis - Utusan Malaysia

Mavcom sangkal tuduhan Tony Fernandes, buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menyangkal tuduhan serius Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan melibatkan permohonan penerbangan tambahan syarikat penerbangan tersebut.

Mavcom dalam satu kenyataan memberitahu, suruhanjaya tersebut melalui Pengerusi Eksekutifnya, Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad telah pun mengadakan perbincangan dengan semua syarikat penerbangan pada 19 dan 20 April lalu untuk mendapatkan penjelasan lanjut sama ada terdapat permintaan mencukupi bagi penerbangan tambahan yang diminta. 

Katanya, Mavcom tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk mengurangkan atau membatalkan penerbangan. 

“Hanya AirAsia yang membuat keputusan untuk mengurangkan permohonan penerbangan tambahan manakala Firefly, Malaysia Airlines dan Malindo Air mengekalkan permohonan asal mereka. 

“Justeru, Mavcom berpendapat tuduhan Tony bahawa kami telah memaklumkan AirAsia untuk membatalkan 120 penerbangan tambahan yang akan membawa 26,000 penumpang adalah tidak berasas dan berniat jahat. Maka Mavcom telah membuat laporan polis mengenai perkara ini,” katanya di sini hari ini. 

Ahad lalu, Tony telah memuat naik sebuah klip video berdurasi hampir lapan minit dalam laman Facebook miliknya yang antaranya mendakwa, AirAsia diberitahu oleh Mavcom supaya membatalkan semua 120 penerbangan tambahan yang disediakan pada harga yang berpatutan untuk rakyat balik mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×