Tarik balik larangan imigresen: Tian Chua berterima kasih - Utusan Malaysia

Tarik balik larangan imigresen: Tian Chua berterima kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah yang baru dilantik, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kerana menarik balik larangan imigresen terhadapnya dan Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden parti itu.

Tian Chua berkata, larangan imigresen yang dikenakan oleh kerajaan terdahulu menghalang mereka daripada memasuki negeri itu tetapi dengan perubahan kerajaan, beliau berharap dapat membina Malaysia yang progresif bersama-sama.

“Saya akan bertemu Datuk (Mohd.) Shafie untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau secara peribadi, mungkin pada Ramadan. Saya rasa gembira kerana sekali lagi dapat menemui rakyat di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, selepas memulakan tugas Mohd. Shafie mengarahkan supaya larangan memasuki Sabah terhadap pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) dari Semenanjung ditarik balik.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018 juga merakamkan penghargaan kepada pengundi di Sabah dan Sarawak atas sumbangan besar mereka terhadap kerusi Parlimen kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lepas. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×