PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek berkuat kuasa serta-merta.
Dengan ketiadaan Mohamed Apandi, Dr. Mahathir berkata, tugas-tugas Peguam Negara termasuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini berhubung permohonan mendapatkan pengampunan diraja kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dihadiri oleh Peguam Cara Negara.
“Peguam Cara Negara adalah seseorang yang memang pun berkuasa menjalankan tugas Peguam Negara. Kedudukan Peguam Negara sukar sedikit kerana beliau baru diberikan kontrak dan perlu mengikut undang-undang. Tentang soal pergantungan tugas, ia memerlukan beberapa tindakan dan sebab itu Peguam Negara diberi cuti.
“Sementara Peguam Negara bercuti, Peguam Cara Negara boleh mengambil alih tugasnya dan akan melaksanakan tugas-tugas berkenaan. Jadi, kita (kerajaan) masih ada Peguam Cara Negara yang boleh menjalankan tugas Peguam Negara,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.










