MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memulakan tugasnya secara rasmi semalam menyatakan kesediaan untuk sekali lagi menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
“Tetapi saya nak tanya dahulu adakah ia perlu atau cukup sekadar saya bantu dari luar kerana sebelum ini kita buat kenyataan untuk mengelakkan orang politik terlibat dalam bola sepak Kedah,” kata Mukhriz.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata demikian kepada pemberita pada hari pertama memulakan tugas sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar semalam.
Kata Mukhriz, perkara itu kemungkinan akan dibincangkan dalam mesyuarat eksekutif KFA.
“Selain itu, kita juga boleh mendapatkan pandangan orang ramai tentang perkara ini menerusi media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook,” ujarnya.
Tambahnya, selain jawatan presiden, beliau mahu pengurusan KFA terdiri daripada golongan profesional.
PH Kedah dalam manifesto PRU-14 menjanjikan untuk menilai penglibatan ahli politik dalam KFA.










