BARCELONA – Pelumba Renault, Nico Hulkenberg tidak berpuas hati dengan gaya pemanduan berbahaya pelumba Haas, Romain Grosjean yang menjadi punca dia dan Pierre Gasly terkeluar daripada perlumbaan apabila terlibat insiden pelanggaran dalam saingan Grand Prix (GP) Sepanyol kelmarin.
Grosjean yang memulakan perlumbaan di petak ketujuh terbabas di selekoh ketiga dan cuba memasuki semula litar sebelum jenteranya hilang kawalan dan berpusing sebelum dilanggar oleh Hulkenberg dan Gasly seawal pusingan pertama.
Akibat insiden terbabit, kereta keselamatan terpaksa dikeluarkan untuk mengawal keadaan litar, sekali gus memberi kelebihan kepada pelumba pasukan Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas untuk meraih kemenangan 1-2 di Litar Catalunya.
“Saya gagal menamatkan perlumbaan selepas melanggar jentera Grosjean. Dia terlalu agresif sehingga terkeluar dari litar sebelum cuba untuk memasuki litar tetapi hilang kawalan menyebabkan saya gagal mengelaknya.
“Tiada apa yang saya dapat lakukan kerana ia tiba-tiba terjadi dan Gasly juga menerima nasib yang sama. Dia (Grosjean) mungkin tidak melihat gambaran yang jelas mengenai apa yang berlaku kerana jenteranya berpusing di dalam litar.
“Dia perlu sedar apa yang akan terjadi sekiranya bertindak sedemikian. Ini bukan pertama kali Grosjean berpusing di atas litar sepanjang perlumbaan musim ini.
“Saya tidak kisah jika dia terbabas sekalipun dan tidak melibatkan pelumba lain. Kali ini dia menyebabkan pelumba lain terkeluar atas kesilapannya. Tindakannya itu menyebabkan pelumba lain menerima kesan,” katanya.
Selepas melakukan penelitian semula, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memutuskan Grosjean akan memulakan perlumbaan di petak ketiga dari belakang pada GP Monaco 27 Mei nanti.
Insiden tersebut adalah kali ketiga Grosjean gagal meraih sebarang mata selepas di Australia dan Azerbaijan, sekali gus kini menduduki tempat ke-19 daripada senarai 20 pelumba F1 2018. – Agensi










