PUTRAJAYA 14 Mei – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menjadi pemimpin pertama dunia dan rantau ini yang melakukan kunjungan hormat ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, Khamis lalu.
Keberangkatan tiba baginda bersama anakandanya, Putera Abdul Mateen di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada pukul 11.45 pagi disambut oleh Perdana Menteri dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Ketibaan baginda bersama anakandanya menarik perhatian media apabila baginda dilihat mengetuai rombongan diraja tersebut dengan memandu sendiri kenderaan Mercedes-Benz.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau terharu dengan kunjungan hormat tersebut biar pun kerajaan baharu belum dibentuk sepenuhnya.
“Ini merupakan kunjungan hormat dan saya rasa terhormat kerana ini adalah ketua kerajaan pertama yang berjumpa dengan saya setelah dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Baginda ketepi protokol yang biasa dibuat oleh kerajaan luar, baginda memilih untuk datang berjumpa walaupun tiada kerajaan selain saya sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Mahathir mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Negara dan semua Ketua Setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.










