KUALA LUMPUR 14 Mei – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengambil sikap tunggu dan lihat, sekali gus enggan membuat andaian mengenai dasar kerajaan baharu Pakatan Harapan sama ada ia kurang mengutamakan pembangunan sukan mahupun mengurangkan peruntukannya.
Beliau lebih gemar untuk menantikan pengumuman siapa Menteri Belia dan Sukan yang baharu dalam Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad namun memang mengalu-alukan untuk mengadakan kunjungan hormat terhadap peneraju di Menara KBS, Putrajaya itu.
“Lebih baik kita tidak buat andaian lagi, bila kita tahu siapa Menteri Belia dan Sukan yang baharu, kami akan berhubung dan akan cuba buat kunjungan hormat terhadap beliau,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Eksekutif MOM di Wisma MOM di sini hari ini.
Setakat ini hanya 10 kementerian yang diumumkan akan dibentuk dalam minggu ini dengan tiga daripadanya sudah pun dilantik menterinya (Kewangan, Pertahanan dan Dalam Negeri) tetapi Kementerian Belia dan Sukan belum lagi disenaraikan.
Norza sebaliknya menegaskan, tugasan terdekat dan paling segera perlu ditangani MOM ialah Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Ogos ini supaya kontinjen negara tidak dilihat sebagai kurang persediaan menghadapi temasya ke-18 itu.
“Kami menanti peluang untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan baharu dan menjalinkan hubungan yang positif serta merancang kerjasama dengan kerajaan baharu.
“Bukan sahaja bagi memperjelas hala tuju dan bentuk sokongan ke Sukan Asia tetapi juga mahu rakyat Malaysia tahu kami memang berusaha keras untuk mencapai pingat emas sulung yang bernilai Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.
MOM juga katanya, telah menubuhkan Pasukan Bertindak yang diketuai Datuk Nazifuddin Najib yang dibantu Ketua Kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi bagi menangani isu kritikal dan senarai keperluan penting ke Sukan Asia.
Norza menambah, legasi kepemimpinan MOM yang ditinggalkan Tunku Imran Tuanku Ja’afar bukan senang untuk ditandingi namun hal itu bukan terletak pada bahu Presiden sahaja sebaliknya memerlukan usaha dan tanggungjawab bersama ahli Lembaga Eksekutif.
“Saya beritahu lembaga bahawa harapan besar telah diberikan dan mahukan kami mendakapinya dan masing-masing perlu mempunyai semangat kekitaan bukannya selaku penyandang jawatan atas nama sahaja,” tegasnya.










