Perluas kegunaan AES ke laluan kecemasan - Utusan Malaysia

Perluas kegunaan AES ke laluan kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saudara pengarang, Langkah pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya di negara ini oleh pihak berkuasa amat disambut baik.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada hanya merakam dan penguatkuasaannya hanya tertumpu kepada kesalahan memandu melebihi had yang dibenarkan sahaja atau lebih dari itu.

Maknanya, bagi pemandu yang memandu perlahan tetapi menggunakan laluan kecemasan, mereka tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Ini kerana saya sering menggunakan Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) setiap kali pulang ke rumah di Taman Setia Indah mendapati terdapat segelintir pemandu seolah-olah tidak menghiraukan kewujudan AES di kawasan berkenaan.

Ini kerana mereka tetap menggunakan laluan kecemasan terutama sekali pada waktu puncak ketika berlaku kesesakan lalu lintas berikutan jumlah kenderaan yang banyak apabila orang pulang ke rumah dari tempat kerja masing-masing.

Jika sebelum AES di pasang di kawasan berkenaan, ada juga saya beberapa kali melihat pihak berkuasa seperti polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat operasi bagi menahan pesalah lalu lintas yang menggunakan laluan kecemasan berkenaan.

Namun, selepas adanya AES, saya tidak nampak lagi operasi dijalankan atau mungkin juga ada operasi ketika saya tidak menggunakan lebuh raya berkenaan dan menggunakan Jalan Tebrau.

Mungkin pihak berkuasa sudah tahu dengan taktik pengguna yang mengesan kehadiran pihak berkuasa dengan aplikasi Waze hingga menyebabkan operasi yang dijalankan tidak berjaya mencapai sasaran sepenuhnya.

Justeru, adalah diharap agar kegunaan AES ini dapat diperluaskan kepada semua kesalahan lalu lintas dan tidak hanya tertumpu kepada kesalahan tertentu sahaja.

Dengan ini kita bukan sahaja dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal malah dapat meningkatkan disiplin pengguna jalan raya pada masa hadapan.

ABANG LORI

Taman Setia Indah, Johor Bahru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×