Suami isteri hasilkan minyak kelapa dara - Utusan Malaysia

Suami isteri hasilkan minyak kelapa dara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 14 Mei – Biarpun gagal sebanyak 15 kali dalam menghasilkan minyak kelapa dara, namun ia tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri.

Othman Hashim, 58, dan Norfaridah Buyong, 54, meng­usahakan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu dan masih mengekalkan cara tradisional dengan kaedah pemeraman bagi mendapatkan hasil berkualiti tinggi.

Menurut Othman, biarpun pernah gagal sebelum ini dia tidak pernah menganggap ia sebagai penamat untuknya meneruskan usaha itu.

“Kerja apa sekali pun memang ada cabaran dan risikonya tersendiri. Saya pernah gagal 15 kali dengan mengalami kerugian.

“Namun, bagi saya ia bukan bermakna perlu berputus asa kerana saya sukakan kerja ini yang memberikan keseronokan apabila proses dijalankan mendatangkan hasil,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Batu 13, Kampung Sungai Batu di sini baru-baru ini

Othman berkata, me­reka tu­rut dibantu anak keduanya, Muhamad Syafiq, 24, yang berminat mendalami penghasilan minyak kelapa dara yang mempunyai pelbagai khasiat.

“Penghasilan sehari kami ti­dak banyak kerana memen­tingkan kualiti dan ia berisiko tinggi jika tidak menjadi.

“Empat hingga lima liter bagi sekali pemprosesan menggunakan 30 biji kelapa boleh dihasilkan dalam sehari,” katanya.

Katanya, dengan bantuan Jabatan Pertanian dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) banyak manfaat diperoleh bagi mengembangkan usahanya itu.

Menurut Othman, dia harus menggunakan kelapa yang be­tul-betul masak atau telah gugur bagi memastikan hasilnya mencapai piawaian yang dikehen­daki.

“Proses menghasilkan mi­nyak kelapa dara bermula de­ngan membuang sabut dan isi kelapa diparut serta diperah santannya sebelum diperap.

“Proses penghasilan minyak itu yang dijenamakan sebagai Golwite Minyak Kelapa Dara pa­ling lama kira-kira 20 jam dan paling cepat hanya empat jam 30 minit,” jelasnya.

Katanya, mereka perlu memastikan ia benar-benar jernih selain bebas daripada sebarang bau tengik sebelum dijual kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Othman juga turut mengalu-alukan jika ada mana-mana institut pengajian tinggi mahu datang membuat penyelidikan dan ada teknologi yang dapat mempercepatkan penghasilannya minyak kelapa dara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×