PUTRAJAYA 14 Mei – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya beberapa kejadian letupan bom di Surabaya, Indonesia yang berlaku di pintu masuk pemeriksaan Ibu Pejabat Polis Surabaya hari ini serta melibatkan tiga lokasi gereja dan sebuah pangsapuri semalam.
Kejadian berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa dan mendatangkan kecederaan kepada orang awam yang tidak berdosa di negara berkenaan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan Malaysia merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada kerajaan Indonesia dan keluarga mangsa yang terlibat di dalam serangan tersebut serta berharap mereka yang cedera akan segera pulih.
“Kementerian Luar ingin mengesahkan bahawa setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian letupan bom tersebut. Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan Indonesia dan memantau perkembangan terkini,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kata kenyataan itu, kementerian menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia, khususnya di Surabaya supaya lebih berhati-hati, sentiasa peka dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta,
Jalan H.R. Rasuna Said, Mukim. X / 6, No.1-3 Kuningan, Jakarta Selatan 12950, Republik Indonesia.
“Kedutaan juga boleh dihubungi melalui emel [email protected] dan talian telefon +62215224947 / +6281380813036 (selepas waktu pejabat),” katanya. – UTUSAN ONLINE










