PADA kebiasaannya, apabila kita melalui atau berada di tapak pembinaan jala raya, pastinya kita akan melihat jelas kepulan asap terhasil semasa kerja penurapan dilakukan.
Asap berkenaan terhasil daripada suhu asfalt campuran panas tinggi iaitu 160 darjah selsius. Bagaimanapun, Ia tidak boleh digunakan lagi sekiranya suhu tersebut turun sebanyak 25 peratus daripada suhu asal.
Lantaran itu, dalam usaha mengurangkan pengeluaran asap, teknologi asfalt campuran suam boleh digunakan. Asap perlu dikurangkan pengeluarannya kerana boleh mengakibatkan pencemaran udara dan juga menjejaskan kesihatan manusia.)
Secara umumnya, asfalt campuran suam ini membolehkan asfalt dan agregat dicampur dan dihasilkan pada suhu 20 sehingga 40 darjah selsius lebih rendah berbanding dengan suhu penghasilan asfalt campuran panas!.

Kelikatan asfalt campuran suam ini dapat dikurangkan melalui beberapa kaedah iaitu pencampuran bahan tambah organik, bahan tambah kimia atau teknik pembusaan menggunakan air.
Campuran jenis ini dijangka mempunyai ciri-ciri kekuatan, ketahanan, dan prestasi setara atau lebih baik daripada cirian dimiliki oleh asfalt campuran panas konvensional.

Teknologi asfalt campuran suam ini dirintis dan berkembang di Eropah selepas Kesatuan Eropah (EU) berjanji mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO 2) sebanyak 15 peratus menjelang tahun 2010.
TIDAK MELUAS
Di Malaysia ia bukalah baharu tetapi tidak begitu meluas. Pada 2017, sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ), Infra Desa (Johor) Sdn. Bhd. dan Segamat Quarry menggunakan campuran ini untuk kerja penurapan di Kampung Air Merah, Mersing, Johor.
Begitupun, teknologi campuran ini boleh dikatakan masih agak baharu dan belum digunakan secara meluas di negara kita.
Antara kelebihan penghasilan asfalt campuran suam ialah ia dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Kajian lepas menunjukkan bahawa pelepasan gas rumah hijau semasa penghasilan asfalt campuran suam adalah berkadaran dengan penjimatan tenaga dianggarkan berjulat di antara 25 hingga 50 peratus.
Dianggarkan bahawa penjimatan 20 hingga 35 peratus tenaga dalam penghasilan asfalt campuran suam, bersamaan 4.1 hingga 5.5 kg karbon dioksida setara per tan asfalt campuran suam.
CEKAP
Teknologi asfalt campuran suam adalah cekap daripada segi tenaga, disebabkan keupayaannya mengurangkan suhu penghasilan campuran.
Ertinya, kos bahan api lebih rendah dan penjimatan berjulat antara 11 hingga 35 peratus, iaitu bersamaan dengan 1.5 hingga 2.0 liter bahan api per tan campuran.
Persatuan Turapan Asfalt Kebangsaan Amerika Syarikat (NAPA) mendedahkan penggunaan bahan api ketika penghasilan campuran ini, dapat dikurangkan secara purata 20 peratus, atau bersamaan dengan pengurangan jumlah kitar hayat pelepasan gas rumah hijau sebanyak 5 peratus.
Pengurangan suhu asfalt campuran suam memberi impak membolehkan jarak pengangkutan jauh tanpa meningkatkan kesan ketara terhadap penuaan pramatang bahan asfalt tersebut.
Oleh itu, campuran ini boleh diangkut meliputi jarak jauh sambil mengekalkan kebolehkerjaan yang baik bagi kerja-kerja penempatan dan pemadatan turapan.
Selari teknologi hijau
Suhu lebih rendah dalam penghasilan dan penempatan asfalt campuran suam menyediakan keadaan kerja selesa di loji dan tapak turapan.

Ini kerana para pekerja dapat bekerja dalam suasana yang lebih dingin dan juga pelepasan wasap dan bau yang lebih rendah.
Namun begitu, terdapat juga beberapa kelemahan yang masih boleh diperbaiki ruangnya. Ternyata wujud kebimbangan berhubung suhu rendah dalam penghasilan campuran jenis ini akan menyebabkan agregat tidak kering dengan sepenuhnya.
Keadaan ini akan meningkatkan kemungkinan berlakunya kerosakan disebabkan oleh lembapan.
Asfalt campuran suam yang menggunakan teknologi berasaskan air juga dipercayai mungkin menyebabkan pemerangkapan air di dalam matriks campuran ini di mana dalam tempoh jangka panjang, boleh menyebabkan kerosakan terhadap turapan.
Namun begitu, manfaat penting asfalt campuran suam telah dibuktikan selaras dengan prinsip teknologi hijau.
Dapatan kajian dilakukan secara berterusan sejak dua dekad lalu terus menunjukkan manfaat besar campuran ini dari sudut ekonomi, alam sekitar, prestasi dan sosial.
Justeru, adalah wajar asfalt campuran suam ini dipertimbang dan digunakan secara meluas di negara kita selaras dengan dengan konsep ke arah pembangunan mapan.
—————–
Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff adalah Prof. Madya di Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM dan Prof. Dr. Mohd Rosli Hainin adalah Prof. Kejuruteraan Jalan Raya merangkap Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UMP.










