SPR nafi manipulasi PRU-14 - Utusan Malaysia

SPR nafi manipulasi PRU-14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pertubuhan Bersih bahawa ia memanipulasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memenangkan pihak tertentu.

Suruhanjaya itu menegaskan, semua proses PRU-14 telah dilaksanakan dengan telus dan adil tanpa sebarang unsur manipulasi terhadap mana-mana pihak.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, pada hari pengundian awal dan pengundian biasa, semua proses adalah dikendalikan oleh petugas pilihan raya yang dilantik dalam kalangan orang awam yang berjumlah 259,000 orang.

“Langkah itu turut disaksikan oleh semua ejen-ejen calon yang dilantik oleh calon atau parti yang bertanding.

“SPR tidak pernah bertindak campur tangan dalam semua urusan termasuk semasa proses pengiraan dan penjumlahan kertas undi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hashim berkata, keputusan penuh PRU-14 yang berpihak kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH) dan berlakunya peralihan kerajaan secara lancar dan teratur jelas membuktikan bahawa PRU-14 telah dijalankan secara telus dan adil.

Dalam hal itu jelasnya, SPR bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi membuktikan bahawa tidak berlaku sebarang manipulasi atau penyelewengan semasa proses PRU-14. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×