Pentadbiran negeri akan diperkukuhkan - Dr. Ahmad Samsuri - Utusan Malaysia

Pentadbiran negeri akan diperkukuhkan – Dr. Ahmad Samsuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 14 Mei -Kerajaan negeri di bawah Pas yang baharu dibentuk akan menumpukan usaha memperkukuh pentadbiran negeri untuk melangkah ke hadapan dalam usaha memenuhi kepentingan rakyat tanpa dibayangi sejarah politik 1999. 


Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pentadbiran negeri tidak mahu membandingkan era pemerintahan Pas dan pendekatan yang diambil selama sepenggal itu dengan masa kini berikutan suasana politik yang jauh berbeza.

“Saya tidak mahu banding senario politik dan pentadbiran pada tahun 1999 dengan sekarang kerana kita berada di era yang berbeza. Semuanya berbeza dari segi cabaran, media sosial, internet, kita berada dalam berlainan era.

“Kita mesti berubah untuk membaiki diri dan mesti melangkah ke hadapan bermula sekarang untuk kearah yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pagi ini.

Dalam Pilihan Raya Umum 1999, Pas dalam keadaan di luar jangka mencatat kemenangan besar, namun proses peralihan kuasa berlaku dalam suasana tidak begitu menyenangkan manakala  pendekatan yang diambil dalam pentadbiran menghakis keyakinan rakyat.

Sementara itu menyentuh mengenai portfolio bagi kesemua 10 Exco kerajaan negeri, beliau berkata, pengumuman akan dibuat selepas  selesai mesyuarat mingguan pertama Exco kerajaan, Rabu ini.

Dr. Samsuri memberitahu, beliau akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terlebih dahulu bagi mendapatkan perkenan baginda sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut.

“Kita akan persembahkan kepada Tuanku sebelum mesyuarat Exco pertama dan selepas itu kita akan maklum kepada pihak media,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×