KUALA LUMPUR 14 Mei – Polis Indonesia mengesahkan tiga insiden letupan bom di bandar itu sejak semalam melibatkan tiga keluarga berbeza.
Memetik laporan BBC Indonesia, Ketua Polis daerah Jawa Timur, Irjen Machud Arifin berkata, siasatan pihaknya mengesahkan insiden ini.
“Dalam insiden pertama semalam, pelakunya merupakan satu keluarga yang terdiri daripada enam orang.
“Dan malam tadi, letupan di Rusunawa Wacolo, Sidoarjo, mengorbankan tiga orang daripada satu keluarga. Namun, insiden ini bukan satu serangan kerana bahan letupannya meletus lebih awal,” kata Machud.
Dan pagi tadi, satu lagi serangan bom bunuh diri dilancarkan terhadap ibu pejabat polis Surabaya.
“Insiden ini juga dilancarkan oleh pengebom yang terdiri daripada satu keluarga.
“Seorang kanak-kanak dipercayai anak kepada pengebom terselamat dan kini sedang dirawat,” kata Machud. – UTUSAN ONLINE










