Kerajaan Negeri Melaka tidak abaikan wakil rakyat pembangkang - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Melaka tidak abaikan wakil rakyat pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 14 Mei – Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa mereka tidak akan membelakangkan wakil rakyat pembangkang dalam kalangan Barisan Nasional (BN) segi peruntukan dalam usaha menjaga kebajikan masyarakat.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sudah pasti terdapat peruntukan untuk setiap wakil rakyat di kawasan masing-masing, namun nilai yang disalurkan itu sahaja yang akan ditentukan nanti.

Menurutnya, prinsip yang dipegang dalam sistem demokrasi negara adalah mudah apabila seseorang itu dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka, peruntukan harus diberikan.

“Tetapi asas peruntukan wakil rakyat itu, mesti ada pejabat, jadi kita akan berikan ruang peruntukan untuk pejabat. Wakil rakyat pembangkang mungkin dia perlukan seorang setiausaha, jadi asas-asas ini kita akan berikan kepada dia di samping peruntukan untuk dia buat kebajikan kepada rakyat.

“Sebab dulu kita pernah jadi pembangkang, susah jadi tu, jadi kita takkanlah balas dendam. Oleh kerana kita dah lama jadi pembangkang, kita tahu susah nasib itu kan, jadi kita tidak akan susahkan wakil rakyat-wakil rakyat BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar ketika menjalankan tugas-tugas sebagai Ketua Menteri pada hari pertamanya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Adly memberitahu, beliau akan menemui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob pada pukul 3 petang ini untuk mendapat perkenan lantikan barisan Exco kerajaan negeri.

“Kita ambil kira semua faktor dari segi kerusi, dari segi kompetensi, dari segi pengalaman, jadi semua ni kita ambil kira dalam pembentukan exco kerajaan negeri.

“Setakat ni kita tak keluarkan pecahan (parti terlibat) itu dulu kerana saya harus membentangkan kepada Tuan Yang Terutama (Mohd. Khalil), cuma asasnya adalah kita ada 15 orang kan, jadi asas Exco itu ada pada kita dan cuma sekarang ini kita masih lagi menyusun, memperkemaskan portfolio-portfolio itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×