MARAN – Setelah diperdaya terlibat dalam jenayah memiliki wang haram tidak wujud, seorang kerani syarikat perladangan di sini kerugian sebanyak RM12,000 dalam satu sindiket Macau Scam, minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 52 tahun menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai bank di Tawau, Sabah memaklumkan dirinya memiliki tunggakan sebanyak RM3,375 menerusi penggunaan kad kredit yang dibuka bersama akaun di bank berkenaan.
“Suspek kemudian menyambung panggilan itu kepada seorang yang menyamar sebagai anggota polis. Mangsa dimaklumkan terlibat dengan jenayah wang haram sehingga namanya bakal disenaraihitamkan.
“Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang dalam akaun simpanannya ke akaun suspek kononnya untuk siasatan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, selepas melakukan tiga transaksi pemindahan secara atas talian, mangsa menyedari ditipu dan telah membuat laporan polis semalam. -K! ONLINE










