Kon Yeow harap lebih peruntukan untuk P. Pinang - Utusan Malaysia

Kon Yeow harap lebih peruntukan untuk P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 13 Mei – Bakal Ketua Menteri baharu, Chow Kon Yeow berharap lebih banyak peruntukan disalurkan oleh kerajaan Persekutuan untuk negeri ini.

Kon Yeow, 60, yang dijadualkan mengangkat sumpah jawatan berkenaan pagi esok berharap perkara itu dapat direalisasikan memandangkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng kini dipi­lih sebagai Menteri Kewangan.

Menurutnya, dengan peruntukan berkenaan kelak, pelbagai projek akan dapat dilaksanakan kerajaan negeri.

“Antaranya kita mahu memulakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan Kon Yeow menggantikan beliau susulan kejayaan Pakatan Harapan memenangi 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tiga lagi kerusi iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) manakala Pas menang di Penaga.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh parti kepadanya untuk menjawat jawatan berkenaan.

Dengan pengumuman ber­kenaan, Kon Yeow yang dilahirkan di Kuala Lumpur akan menjadi Ketua Menteri Kelima selepas Guan Eng, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Tun Dr. Lim Chong Eu dan Tan Sri Wong Pow Nee.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu menyer­tai DAP pada 1986 dan dipilih menjadi Pengerusi parti negeri pada 2000.

Dalam PRU-14, Kon Yeow mempertahankan kerusi DUN Padang Kota buat kali ketiga berturut-turut apabila mendapat 9,278 undi sekali gus menewaskan calon BN, H’ng Koon Lee (1,470) calon Parti Bersama Malaysia, Goh Saik Wei (71).

Mengulas mengenai lantikan barisan Exco kerajaan negeri, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, beliau masih belum dapat mendedahkan senarai lengkap hari ini.

“Kemungkinan barisan Exco akan diumumkan Rabu depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×