JCorp mahu perluas tanah ladang - Utusan Malaysia

JCorp mahu perluas tanah ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menyasarkan untuk meluaskan tanah perladangan miliknya kepada lebih daripada 100,000 hektar dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (gambar) berkata, menerusi sayap perlada­ngan kumpulan, Kulim (Malaysia) Bhd. (Kulim), keluasan tanah syarikat itu mencecah kira-kira 58,000 hektar de­ngan majoritinya adalah dalam tanaman kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia.

“Dari semasa ke semasa, kami akan terus meninjau potensi dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi menilai tanah ladang yang dilihat berpotensi untuk diambil alih.

“Ia akan melibatkan tanah-tanah di sekitar Malaysia dan Indonesia.

“Langkah ini seterusnya dapat mendorong rancangan kami untuk menyenaraikan semula Kulim di Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang setelah ia diswastakan pada tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman prestasi kewangan Kumpulan JCorp di sini baru-baru ini.

Bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Disember 2017, Kulim mencatatkan perolehan bernilai RM1.54 bilion dengan keuntu­ngan sebelum cukai sebanyak RM43.44 juta.

Ia didorong oleh manfaat daripada keadaan cuaca serta harga komoditi yang lebih baik.

Dalam pada itu, ditanya mengenai bahagian kesihatan pakar yang diusahakan menerusi KPJ Healthcare Bhd. (KPJ), Kamaruzzaman berkata, kumpulan menyasarkan untuk membuka dua hospital di Perlis dan Bandar Dato’ Onn, Johor pada tahun ini.

“Ia dijangka melibatkan kos pela­buran bernilai RM70.8 juta dan RM180 juta masing-masing,” jelasnya.

Sehingga akhir 2017, KPJ mempunyai dan mengurus 25 hospital di Malaysia, dua di Indonesia dan satu di Bangladesh.

Perolehan syarikat bagi tahun kewa­ngan 2017 turut mengukuh kepada RM3.18 bilion, berbanding RM3.02 bilion yang direkodkan pada tahun 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×