1,300 peserta meriahkan acara kayuhan tahunan JMFR 2018 - Utusan Malaysia

1,300 peserta meriahkan acara kayuhan tahunan JMFR 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 13 Mei – Seramai 1,300 peserta menyertai acara kayuhan basikal tahunan Janamanjung Fe­l­lowship Ride (JMFR) 2018 anjuran Tenaga Nasional Berhad(TNB) sejauh 147 kilometer di sini baru-baru ini.

JMFR kali ini melibatkan laluan mencabar bermula di pantai perkelahan terkenal di sini iaitu Te­luk Batik dan para pelumba me­lalui Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah di sini, Manjung, Pasir Salak, Ayer Tawar dan berakhir di Teluk Batik.

Di sepanjang laluan, sebanyak lima water station disediakan untuk para peserta.

Lebih 4,500 pengunjung hadir memeriahkan JMFR 2018.

Bermula seawal pukul 7.30 pagi, acara kayuhan bukan sekadar menarik penyertaan peserta tempatan, malah dari negara luar seperti Indonesia, Jepun dan Singapura juga tidak melepaskan peluang.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, program kayuhan pada kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini.

Menurutnya, pada kali ini pihaknya bawakan seramai 14 atlet paralimpik negara, 10 orang kurang upaya dari segi penglihatan dan empat pemain hoki kebangsaan untuk bersama- sama memeriahkan aktiviti ini.

“Bilangan peserta pada kali ini bertambah berbanding tahun lalu iaitu 1,012 peserta.

“Saya berasa teruja kerana semakin ramai yang mengambil bahagian dalam kayuhan basikal demi mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Yang turut hadir Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Shamsul Ahmad.

Roslan berkata, pemilihan Teluk Batik untuk lokasi program kayuhan itu adalah mempromosikan Teluk Batik sebagai tarikan pelancong di daerah Manjung.

Menurutnya, program ini telah berlangsung dalam suasana meriah dan berwarna-warni.

“Saya dapat rasakan semangat para peserta yang mahu menamatkan kayuhan ini walaupun jauh dan mencabar,” katanya.

Katanya, sempena JMFR ini, kira-kira 60 gerai pameran disediakan untuk para pengunjung antaranya gerai promosi Aplikasi MyTNB, Jelajah Pasukan Hoki TNB Thunderbolt dan beberapa gerai jualan produk tempatan termasuk kraftangan dan  makanan laut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×