SUNGAI PETANI 13 Mei – Kayuhan kutip dana tambahan dilancarkan bagi mengumpul sebanyak RM7.6 juta untuk tujuan pembinaan Masjid Kariah Bandar Perdana As-Syakirin, Sungai Petani di sini baru-baru ini.
Pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Amir Mohd. Nason berkata, seramai empat orang penduduk di kariah berkenaan memulakan kayuhan itu diketuai oleh Abdul Karim Abdul Wahab sebagai ketua, Mohd. Sukiman Ahmad serta Mohd Khiranee Mat Akhir, Ahmad Fikri Abdul Azik dan Kamarulkhizan Mohd. Salleh.
“Mereka memulakan kayuhan itu di pekarangan Masjid As-Syakirin Bandar Perdana, Sungai Petani di sini hingga sampai ke Masjid Zahir, Alor Setar.
“Semua peserta begitu bersemangat untuk membuat kayuhan itu dan mereka akan singgah di beberapa buah masjid sepanjang jalan ketika menuju ke Alor Setar serta menyebarkan risalah mengenai rancangan pembinaan masjid tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Amir yang juag Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kuala Muda berkata, kayuhan basikal seumpama ini sebenarnya boleh menyihatkan kesihatan peserta sendiri selain mencapai objektif penganjuran.
“Kita berharap banyak wang dapat dikutip hasil sumbangan ikhlas dari orang ramai di sepanjang jalan kerana mereka yang prihatin tentu memberi sumbangan terhadap pembinaan masjid baharu ini,” jelasnya.
Orang ramai juga yang ingin mendapatkan mendapat maklumat lanjut mengenai pembinaan masjid berkenaan boleh menghubungi Mohd. Khiranee Mat Akhir di talian 019-4807820, Wisha Qarani Ismail 016-4425637 atau memberi wang sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 07043011011113.










