India di ambang krisis air - Utusan Malaysia

India di ambang krisis air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE Town, Afrika Selatan berjaya menyelamatkan rakyatnya daripada krisis air meskipun bandar berkenaan dijangka mengalami masalah berkenaan sehingga tahun 2019.

Berbeza dengan India, sehingga kini mereka masih belum ada jalan keluar untuk menyelesaikan krisis air.

Pertambahan penduduk, kelemahan pengurusan air dan peningkatan keperluan untuk kegunaan pertanian serta industri menyebabkan krisis air di India semakin membimbangkan.

Perubahan iklim yang semakin panas menyebabkan keperluan terhadap bekalan air semakin meningkat.

Menurut Laporan WaterAid 2018 hampir 163 juta penduduk di India berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air bersih.

Timbalan Pengarah dan Pakar Asia Selatan di Pusat Wilson, Washington, Michael Kugelman berkata, pertikaian dengan negara jiran mengenai perkongsian air dari sungai yang mengalir di sempadan menunjukkan ketegangan semakin meningkat.

“Negara yang kurang bekalan air terpaksa berkongsi dengan negara lain dan kebanyakan sungai utama akan melalui sempadan negara yang politiknya agak tegang,” katanya.

India terjejas ekoran pertikaian air dengan negara jirannya iaitu Bangladesh dan Pakistan yang dikatakan memonopoli aliran air.

Malah, pembinaan empangan ke atas Sungai Tsangpo di hulu China menambahkan lagi masalah krisis air di India.

Walaupun sempadan sungai India ditadbir oleh sebuah jawatankuasa yang mengajar kaedah perkongsian air namun perselisihan masih berlaku.

Permintaan

Selain Bhutan dan Nepal, ketersediaan air per kapita negara Asia Selatan itu sudah berada di bawah purata dunia.

Kugelman berkata, rantau Asia Selatan dapat menghadapi kekurangan air kurang daripada 1,000 meter padu menjelang tahun 2025.

Laporan Institut Sumber Dunia menunjukkan hampir 600 juta penduduk di India berisiko tinggi tidak mendapat bekalan air.

Bank Pembangunan Asia turut meramalkan bekalan air di India jatuh 50 peratus di bawah permintaan menjelang tahun 2023.

Penulis buku perubahan iklim, Mridula Ramesh berkata, sebahagian besar penduduk India hidup tanpa air buat sementara waktu.

“Kebanyakan bandar kehilangan sehingga satu per lima air akibat kebocoran paip-paip lama dan air kumbahan yang tidak dirawat semula,” katanya.

Laporan Pusat Sains dan Alam Sekitar (CSE) iaitu sebuah kumpulan penyelidikan dan advokasi yang berpusat di New Delhi menunjukkan Bengaluru, Karachi dan Kabul antara 10 bandar yang berada di ambang krisis air.

Wakil CSE, Sushmita Sengupta berkata, Bengaluru yang dikenali sebagai bandar tasik kini banyak bergantung kepada air bawah tanah yang tidak semula jadi.

India merupakan salah satu daripada pengguna air bawah tanah terbesar di dunia dan subsidi yang diberikan membantu petani menggunakan pam air elektrik.

Pam air elektrik berkenaan lebih murah, tahan lama dan tidak terhad penggunaannya memberi manfaat kepada para petani.

Sensitif

Kugelman berkata, terdapat beberapa negeri di India mengambil langkah untuk menguruskan air dengan baik seperti Karnataka dan Maharashtra. Mereka mahu industri menggunakan air buangan bandar yang dirawat.

Langkah berkenaan turut diikuti Gujerat dan beberapa negeri lain dalam usaha menyelesaikan krisis air yang berlaku.

Bagaimanapun Kugelman berkata, krisis air adalah isu sensitif kerana hanya terdapat beberapa pembuat dasar yang mahu menanganinya meskipun terdapat beribu-ribu petani yang berpindah dari kawasan pedalaman.

Hasil penyelidikan Kumpulan Strategi Foresight di Mumbai mendedahkan krisis air dijangka memberi kesan kepada 50 hingga 70 juta orang di India, Bangladesh, Nepal dan China.

“Penghijrahan penduduk secara besar-besaran ke bandar menyebabkan gangguan sosial yang lebih besar dan menambah keperluan terhadap air.

“Keadaan ini akan meningkatkan lagi ketegangan antara negara yang terlibat dan perjanjian dilihat kurang membantu,” katanya.
– Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×