Remaja maut motosikal ditunggang dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Remaja maut motosikal ditunggang dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM 13 Mei – Seorang remaja lelaki maut manakala seorang rakannya cedera apabila motosikal ditunggang secara berasingan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 61, Jalan Teluk Intan- Klang, Sungai Besar, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa Muhammad Luqman Md. Zainuddin, 15, meninggal dunia dilokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira manakala rakannya berusia 18 tahun pula mengalami kecederaan kecil di bahagian tangan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Nor Azmi Isa berkata, berdasarkan siasatan awal ketiga-tiga kenderaan dalam kejadian itu datang dari arah yang sama iaitu arah Klang menuju ke Teluk Intan.

“Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai rakan mangsa yang berada di belakang telah melanggar bahagian sisi kanan (ekzos) motosikal menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan.

“Namun, pada masa sama sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki warga emas berusia 63 tahun tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal dan mangsa yang berada di atas jalan berkenaan,” katanya yang turut memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah Nor Azmi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam manakala rakannya menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×