Rayzam tewaskan bintang Kuwait - Utusan Malaysia

Rayzam tewaskan bintang Kuwait

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN gagal mencapai sasaran peribadi, namun raja pecut 110 meter (m) lari berpagar Asia Tenggara, Rayzam Shah Wan Sofian tetap berpuas hati dengan kejayaan me­raih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia semalam.

Rayzam, 30, yang hampir menarik diri daripada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu berjaya menewaskan antara pilihan pemenang pingat Sukan Asia 2018 di Palembang dan Jakarta, Indonesia, Ogos depan dari Kuwait, Al-Youha Yaqoub.

Catatan masa dilakukan Rayzam semalam ialah 14.12 saat (s), namun kemenangan ke atas Al-Youha meningkatkan keyakinan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu untuk menghadapi Sukan Asia 2018 nanti.

“Aksi final terpaksa ditunda selama sejam setengah daripada jadual asal kerana hujan lebat. Saya mengalami kekejangan otot sebanyak dua kali sewaktu memanaskan badan menyebabkan saya sudah hilang mood.

“Kalau ikutkan, saya sudah tidak mahu berlari tetapi saya mahu bersaing dengan pelari dari Kuwait (Al-Youha) sebab selama ini saya tidak pernah menang dengan dia.

“Niat saya mahu melakukan catatan masa bawah 14s tetapi tidak kesampaian. Namun, saya gembira ke­rana dapat menewaskan dia (Al-Youha) yang merupakan prospek pingat pada Sukan Asia 2018 nanti,” katanya.

Al-Youha memenangi pingat perak dengan catatan masa 14.17s, manakala atlet Filipina, Clinton Kingsley Bautista meraih tempat ketiga selepas mencatatkan 14.27s.

Rayzam yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 13.67s, akan terbang ke Liepzig, Jerman minggu depan untuk meng­hadapi lima kejohanan sebagai persediaan untuk ke Sukan Asia 2018 sebelum pulang ke tanah air pada 1 Julai.

Sebagai rekod, Terbuka Malaysia merupakan kejohanan ketiga Rayzam untuk tahun ini selepas dia menca­tatkan 14.01s pada Pra Sukan Asia di Jakarta, Indonesia (Februari) dan 14.03s pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×