KOTA KINABALU 12 Mei – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilantik Ketua Menteri Sabah ke-15 selepas mengangkat sumpah di depan Yang Dipertua, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pada pukul 9 malam tadi.
Beliau berjaya membentuk kerajaan campuran Warisan bersama Pakatan Harapan dengan jumlah 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengumumkan keluar parti dan menyertai Warisan semalam.
Pelantikan tersebut bagaimanapun menimbulkan polemik baharu pembentukan kerajaan negeri selepas Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman turut mengangkat sumpah kelmarin, namun kerajaan campuran yang dibentuk beliau bersama Parti Solidariti Tanah Airku (Star) kini telah kehilangan sokongan dan hanya memiliki 25 kerusi DUN.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN berjaya memiliki 29 kerusi, Warisan dan Pakatan Harapan sebanyak 29 kerusi manakala Star dua kerusi DUN.
Situasi yang menunjukkan tiada parti mendapat majoriti mudah itu menyebabkan pergolakan politik apabila beberapa pemimpin parti komponen BN iaitu UMNO dan UPKO bertindak menyertai Warisan.
Sementara itu, Musa telah menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan kerana masih Ketua Menteri yang sah dan telah pun mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri yang pertama di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) tengah hari ini.
“Biar saya tegaskan bahawa saya atau semua ahli Kabinet negeri tidak meletak jawatan.
“Malah, saya telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri selepas tamat pilihan raya umum,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Terdahulu, Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang telah dilantik Timbalan Ketua Menteri oleh Musa kelmarin berkata, Kabinet negeri yang ada sekarang masih sah mengikut Perlembagaan.
“Adakah anda rasa sesuai untuk melanggar Perlembagaan? Kita sepatutnya menghormati mandat yang rakyat bagi, jangan mempermainkan hak rakyat, bagaimana Kerajaan Pusat boleh membuli kerajaan negeri sekarang, ini tidak baik untuk kestabilan negara,” katanya.










