Operasi bas percuma Kemaman dihenti 10 Mei - Utusan Malaysia

Operasi bas percuma Kemaman dihenti 10 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 12 Mei – Perkhidmatan Bas Percuma Kemaman Shuttle yang diuruskan Pejabat Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman ditamatkan sejak 10 Mei lalu.

Dalam satu notis penamatan perkhidmatan yang dimuat turun menerusi laman Facebook rasmi Kemaman Shuttle, bas beroperasi pada November tahun lalu itu terpaksa dihentikan perkhidmatan setelah Ahli Parlimen Kemaman sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak lagi berkhidmat di pejabat Parlimen tersebut.

“Bas ini diuruskan (melalui sewaan dan penajaan) oleh Pejabat Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman. Adalah menjadi kesalahan jika ia terus beroperasi kerana Pejabat Ahli Parlimen BN Kemaman tidak lagi boleh beroperasi kerana kami bukan lagi Yang Berhormat Parlimen di Kemaman, kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat.

“Kami amat berharap semoga Bas Kemaman Shuttle ini dapat berbakti lagi kelak pada masa akan datang. Terima kasih buat semua yang menggunakannya. Maafkan kami atas segala kekurangan,” menurut kenyataan itu lagi.

Perkhidmatan bas percuma tersebut telah beroperasi pada 1 November tahun lalu atas inisiatif Ahmad Shabery yang ketika itu Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani.

Perkhidmatan bas shuttle sebelum ini juga adalah perkhidmatan sosial yang tidak berasaskan keuntungan dan ia beroperasi hasil penajaan syarikat-syarikat swasta dan inisiatif yang dibuat bagi memenuhi kehendak rakyat setelah perkhidmatan pengangkutan bas henti-henti yang telah lama tidak beroperasi di daerah tersebut. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×