Kerajaan baharu perlu jamin kebebasan media - Utusan Malaysia

Kerajaan baharu perlu jamin kebebasan media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mei – Saranan seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan supaya lesen sebuah media arus perdana ditarik balik adalah tidak bertepatan dengan dasar kebebasan media yang diuar-uarkan oleh kerajaan baharu itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Syed Alsagoff sebaliknya berkata, semua pihak harus berfikiran pragmatik dan terbuka dari segi kebebasan media bagi menjamin penyampaian maklumat yang telus kepada rakyat.

Malah, kata beliau, cadangan Pakatan Harapan untuk memansuhkan Akta Pencetakan dan Penerbitan menunjukkan inisiatif kerajaan baharu itu dalam usaha memastikan wujudnya kebebasan media di negara ini.

“Saya menyokong apabila Pakatan Harapan bercadang untuk memansuhkan akta tersebut. Kita harus berfikiran pragmatik dalam isu ini malah inilah masa­nya kerajaan baharu meraikan amalan kebebasan media negara ini dengan menumpukan kepada penyaluran maklumat dengan telus kepada rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer menggesa lesen penyiaran TV3 ditarik balik serta-merta kerana menyifatkan stesen televisyen itu menjadi penghasut.

Tindakan Rayer bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan untuk memastikan kebebasan media di negara ini.

Bagaimanapun, kenyata­an ahli Parlimen itu mendapat maklum balas berbeza daripada pemimpin Pakatan Harapan dan orang ramai pula mengkritik beliau kerana bersikap seperti kerajaan sebelum ini.

Penasihat DAP yang juga me­rupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang memaklumkan kenyataan Rayer tidak mencerminkan pendirian kerajaan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Syed Agil yang juga Ahli Lembaga Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mencadangkan agar mekanisme kawalan kendiri (self-regulate) dilaksanakan kepada semua media termasuk media cetakan.

Kata beliau, ketika ini, meka­nisme itu hanya diwajibkan kepada media elektronik.

“Saya rasa kini mekanisme itu harus dilaksanakan kepada semua media tanpa mengira elek­tronik mahupun cetakan agar mereka akan berlandaskan kepada kod kandungan ditetapkan dan menyalurkan laporan berita yang bersifat lebih adil,” katanya.

Sementara itu, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, kewujudan media arus perdana amat diperlukan bagi menjadi medium menegur kerajaan sedia ada secara kontrastif demi kebaikan rakyat.

Katanya, walaupun ketika ini masyarakat gemar mencari maklumat melalui media sosial, namun dalam mencari maklumat yang sahih mereka lebih berminat untuk merujuk kepada media arus perdana yang sumbernya dipercayai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×