JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di Istana Bukit Serene di sini hari ini.
Majlis angkat sumpah itu dilakukan pukul 3.30 petang di Balai Mengadap Istana dihadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Berangkat sama pada majlis itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.
Osman, 67, yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) negeri menjadi Menteri Besar yang ke-16 menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Osman menang majoriti 9,178 undi mengalahkan dua calon lain, Datuk Ramli Bohani (Barisan Nasional) dan Dzulkifli Suleiman (Pas).
Semalam, Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menghadap Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi di sini bagi memohon perkenan baginda untuk menubuhkan kerajaan baharu Johor serta menyerahkan tiga nama untuk jawatan Menteri Besar.
Selain Osman, dua lagi nama yang dicadangkan adaah ADUN Simpang Jeram, Salahuddin Ayub serta ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, PH memenangi 36 kerusi menewaskan Barisan Nasional (19) dan Pas (1) sekaligus menang majoriti untuk membentuk kerajaan baharu. – K! ONLINE.










