Dasar luar era Najib dan Mahathir - Utusan Malaysia

Dasar luar era Najib dan Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia dikejutkan oleh tsunami politik yang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dan tonggaknya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), selepas penguasaan selama 60 tahun. 

Pilihan raya umum baru-baru ini menyaksikan kembalinya ‘orang kuat’ negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 92, untuk menggenggam tampuk pemerintahan negara ketika rakyat dahagakan perubahan besar atau reformasi, perkataan yang dahulunya tabu. 

Pastinya kerajaan baharu itu akan melakukan rombakan besar daripada segi pentadbiran, ekonomi dan aspek lain dan pastinya juga, apabila teraju pemerintahan berubah, dasar luar negara akan turut berubah.
Setiap negara di dunia mempunyai dasar luarnya tersendiri, manakala dasar luar Malaysia yang dibentuk selepas kemerdekaan pada tahun 1957 tidak statik, namun berubah seiring dengan perkembangan politik dan ekonomi dunia serta teraju kepimpinan negara.

Di sebalik perubahan tersebut, matlamat dasar luar Malaysia secara amnya berkisar kepada untuk menjaga dan melindungi kepentingan politik, keselamatan, ekonomi dan kepentingan negara yang lain.
Pada era pemerintahan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman, dasar luar Malaysia adalah di peringkat ‘dalam buaian’ ekoran Malaysia  baru sahaja bebas daripada penjajahan empayar British.

Acuan
Menurut kertas penyelidikan Faridah Jaafar yang diterbitkan pada 2007, dasar luar semasa zaman Tunku dari 1957–1969, bersifat antikomunis dan pro-Barat dengan jalinan hubungan rapat dengan negara-negara Komanwel. Dari situ, dasar luar negara berkembang menurut acuan pemimpin seterusnya dari era pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah anaknya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Najib memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam  bermula pada 3 April 2009 bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Beberapa penyelidik politik berkata, semasa era pemerintahan Najib, dasar luar negara adalah lebih proaktif dan dinamik berbanding era Abdullah. 

Beliau meneruskan dasar luar sebelum ini bagi membantu mewujudkan ekonomi yang mantap, dinamik dan mudah pulih. 

Malaysia ketika itu memberikan penekanan kepada hubungan dua hala dengan rakan serantau khususnya, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di samping mengekalkan kerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Menurut laman web kepimpinan Asia Pacific Bulletin, antara perubahan dasar luar yang ketara ketika itu, adalah konsep  berkawan dengan semua dan ‘jaga tepi kain sendiri’.

Infrastuktur
Era tersebut menyaksikan Malaysia berubah daripada pendekatan bersifat ‘konfrontasi’ termasuk kritikan terbuka dan lantang oleh Mahathir terhadap Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) berikutan  tindakan Washington menyerang Iraq dan isu pendudukan Israel di bumi Palestin.

Perubahan dasar terhadap AS itu menyaksikan Malaysia diberi keistimewaan oleh Washington untuk membeli persenjataan bernilai lebih AS$269 juta (RM1.07 bilion). Kuota itu lebih besar berbanding mana-mana negara ASEAN termasuk sekutu White House di rantau ini iaitu Thailand serta Filipina.

Era pemerintahan Najib juga menyaksikan Kuala Lumpur berjaya keluar daripada krisis diplomatik antarabangsa termasuk merundingkan pembebasan sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara selepas pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin tertinggi negara komunis itu, Kim Jong-un.

Situasi tegang ketika itu, mudah untuk menjadi tidak terkawal, apatah lagi Korea Utara memiliki status sebagai negara yang memiliki bala tentera antara paling besar di dunia di samping senjata nuklear.

Namun, diplomasi Kuala Lumpur yang tahu bila masa untuk berkeras dan masa berlembut, menyaksikan kakitangan diplomatik negara ini selamat pulang ke tanah air selepas Najib melarang diplomat Korea Utara meninggalkan Kuala Lumpur. 

Era tersebut menyaksikan satu lagi kejayaan diplomasi Malaysia. Hasil rundingan Najib membolehkan Kuala Lumpur mengeluarkan mayat mangsa tragedi tembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 dari kawasan bergolak yang dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.

Namun, dasar luar Najib juga mengundang kritikan. Beliau didakwa  bersikap terlalu lembut dengan Singapura dan China. Pemimpin tersebut didakwa ‘berdiam diri’ berhubung tuntutan Beijing di Laut China Selatan termasuk melibatkan zon ekonomi eksklusif negara sebagai pertukaran kepada ‘bantuan’ kewangan oleh China.

Kuala Lumpur juga didakwa memberikan kontrak pembinaan landasan kereta api laju dan infrastruktur lain kepada firma milik pemerintah China, Syarikat Pembinaan Komunikasi China (CCCC) untuk mendapatkan bantuan kewangan berjumlah berbilion ringgit, demikian menurut laporan laman berita Yale Global. Dakwaan oleh Sarawak Report pula mengaitkan pemberian kontrak itu dengan dana 1Malaysia Development Bhd. (IMDB).

Tindakan itu mengundang kecaman pembangkang atas beberapa faktor, terutamanya berkaitan kebebasan meluas yang diberikan kepada CCCC.

Langkah tersebut dianggap mengekang kebebasan untuk membuka bidaan kompetitif untuk  projek infrastruktur negara pada masa hadapan. 

Ini kerana di bawah perjanjian Kuala Lumpur-Beijing itu, CCCC tidak akan dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan untuk tempoh 10 tahun, manakala firma China itu juga diberikan kebebasan penuh untuk memilih pembekal dan subkontraktor tanpa perlu melibatkan firma-firma tempatan, malah tidak perlu merujuk kepada kerajaan Malaysia.

Dasar luar Mahathir 
Semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003, namanya dikenali oleh Barat dan dunia Islam, namun kerana sebab yang berbeza.

Beliau merupakan pemimpin yang lantang menyelar dasar berat sebelah Barat terutamanya AS, Britain dan Australia ke atas negara Islam khususnya isu berkaitan Palestin. Walaupun dilabel ‘harimau kertas’ kerana retorik kerasnya tetapi tanpa ‘kekuatan ketenteraan’ sebagai sandaran, kelantangan Mahathir itu memastikan apa yang terbuku dalam kalangan pemimpin dan umat Islam diluahkan tanpa sekatan atau rasa takut.

Keberanian beliau itu ternyata mendapat pujian umat Islam, manakala nama Malaysia dijulang oleh negara-negara Islam di seluruh dunia tanpa mengira sama ada pengikut Sunnah ataupun  Syiah.  

Pendirian tegas Mahathir dalam memperjuangkan nasib orang Islam ketika itu juga bukan sekadar retorik. Ketegasannya terbukti  apabila Malaysia menghantar tentera pengaman untuk membantu penduduk Islam Bosnia yang menjadi mangsa kekejaman puak Serb semasa Perang Bosnia dari tahun 1992 hingga 1995. Bantuan yang diberikan termasuk menyediakan suaka kepada warga Bosnia di negara ini di samping bantuan kewangan dan bantuan asas lain.

Kata-kata beliau pada masa itu ialah: “Kalau negara-negara Arab keberatan untuk membantu, kita hantar sahaja askar kita.”

Sama ada dasar luar yang lantang itu akan sekali lagi terserlah semasa pemerintahan kali kedua oleh Mahathir, hanya masa yang akan menentukannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×