IPOH 11 Mei – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Barisan Nasional (BN) Perak supaya membukti parti itu telah mempunyai 30 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, perkara itu dititahkan oleh baginda selepas menerima menghadap ADUN Pakatan Harapan di Istana Kinta di sini hari ini.
Menurutnya, Sultan Nazrin telah memberi pilihan kepada Pakatan Harapan yang mempunyai majoriti paling besar 29 kerusi membentuk kerajaan negeri tetapi dengan syarat parti itu mempunyai majoriti mudah.
Katanya, namun pada pagi ini, Pejabat Sultan Perak telah menerima surat yang memaklumkan daripada BN sudah mempunyai majoriti mudah 30 kerusi.
“BN mempunyai 27 kerusi dan tiga ADUN Pas telah disembah maklum telah bersetuju untuk membentuk satu kerajaan bersama BN.
“Walau bagaimanapun, tuanku mahu mensahihkan kandungan surat tersebut dan BN telah diminta untuk membawa kesemua 30 ADUN bagi membuktikan mereka ada sokongan daripada 30 orang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, sekiranya Pakatan Harapan tidak dapat membuktikan mereka mempunyai majoriti mudah, baginda tidak boleh menangguh lama untuk menubuhkan kerajaan negeri.
“Tetapi kalau Pakatan Harapan dapat membuktikan mereka juga mempunyai 30 kerusi, baginda akan menimbang semula dan tempoh yang dimohon oleh Pakatan Harapan adalah sehingga pukul 2 petang esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE










