PASUKAN Selangor sedang mengintai pemain import baharu dari Portugal dan Argentina bagi memantapkan skuad Gergasi Merah bagi memberi tentangan sengit dalam saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.
Skuad Gergasi Merah telah menerima dua tawaran daripada ejen pemain tersebut pada jendela perpindahan pemain ketika ini, namun masih enggan mendedahkan identiti mereka kerana terlalu awal untuk pasukan membuat keputusan.
Jurulatihnya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir akui beliau perlu menilai terlebih dahulu prestasi pemain tersebut supaya ia mampu memberi impak positif buat pasukan.
“Pasukan enggan terburu-buru untuk mendapatkan pemain import dari Portugal yang pernah beraksi dengan liga Arab, manakala pemain Argentina itu pula pernah bersama liga China walaupun mereka mempunyai pengalaman yang sangat luas.
“Kita perlu mengikut kesesuaian pasukan terlebih dahulu kerana suasana Liga Malaysia (Liga M) tidak sama seperti yang mereka lalui sebelum ini.
“Pada masa sama, kami mahukan pemain baharu yang dapat membantu pasukan, terutamanya ketika berdepan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) bulan depan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Skuad Gergasi Merah itu turut menerima tawaran daripada ejen bekas pemain Pahang, Matias Conti yang juga kelahiran Argentina tetapi kini dipinjamkan untuk beraksi di divisyen pertama liga bola sepak Chile.
Selangor kini mempunyai lima pemain import yang digunakan ketika bekas jurulatihnya mengendalikan pasukan tersebut iaitu Evan Dimas dan Ilham Udin dari Indonesia selain Rufino Segovia dan Alfonso de Cruz dari Sepanyol serta Willian Pacheco (Brazil).
Dalam pada itu, Nazliazmi mahukan semua pemain yang bakal ditawarkan untuk menyertai Selangor agar menjalani latihan serta perlawanan persahabatan bersama skuad Gergasi Merah terlebih dahulu.
“Melalui sesi latihan dan perlawanan persahabatan kita dapat melihat prestasi pemain ini adakah ia mengikut kesesuaian pasukan atau sebaliknya.
“Saya perlu menilai dengan lebih terperinci supaya kehadiran mereka dapat menampung kekurangan yang ada pada pasukan.
“Kita mahu dana yang dilaburkan membuahkan hasil serta pemain dapat membawa nama Selangor sebagai salah satu pasukan pencabar utama dalam saingan Liga M,” ujarnya.










