BN Perak miliki kerusi mencukupi untuk bentuk kerajaan negeri - Utusan Malaysia

BN Perak miliki kerusi mencukupi untuk bentuk kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 11 Mei – Barisan Nasional (BN) Perak mengumumkan telah memiliki bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sehubungan itu beliau akan memohon menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembah maklum kedudukan terkini itu dan perkenan untuk membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Menurutnya, berdasarkan keputusan PRU-14 tidak ada parti memperoleh jumlah kerusi majoriti mudah bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri Perak.

Katanya, BN memperoleh 27 kerusi manakala beberapa parti yang bertanding di bawah PKR 29 kerusi dan Pas tiga kerusi.

“Bagaimanapun suka cita saya ingin memaklumkan bahawa BN telahpun mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

“Justeru saya akan memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah bagi menyembah maklum kedudukan terkini dan perkenan untuk membolehkan kerajaan negeri dibentuk,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Kenyataan tersebut dibacakan oleh Pengarah Komunikasi dan Korporat Pejabat Menteri Besar, Nizamuddin Mat Isa.

Terdahulu, Pas Perak memberi petunjuk awal untuk bergabung dengan BN bagi membentuk sebuah kerajaan gabungan di negeri Perak.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata semalam, Pas pastinya mahu memilih parti yang boleh memberi kerjasama sepenuhnya dalam memperjuangan Islam demi kesejahteraan ummah.

Gabungan BN-Pas membolehkan kerajaan negeri ditubuhkan dengan majoriti mudah 30 kerusi berbanding Pakatan Harapan 29 kerusi.

Pas menang DUN Selama (Mohd. Akmal Kamarudin), Kubu Gajah  (Khalil Yahaya) dan Gunung Semanggol (Razman Zakaria). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×